KUALA LUMPUR, 20 Jan – Persepsi pasaran terhadap risiko berubah kepada senario pemulihan permintaan yang kukuh, dipacu jangkaan bahawa presiden Amerika Syarikat (AS) baru dipilih, Donald Trump akan berusaha serta melaksanakan dasar yang lebih mesra pertumbuhan.
Menurut HSBC Global Asset Management (HSBC), bagaimanapun, risiko ke bawah daripada dasar perlindungan global AS tidak mengubah keadaan kewangan yang lebih ketat dan ketidaktentuan pengguna.
Dalam laporan unjuran pelaburan 2017 HSBC, syarikat itu berkata pelabur juga perlu berhati-hati memandangkan ketidaktentuan politik masih tinggi dan prospek AS yang lebih perlindungan mempunyai potensi untuk menjejaskan asas-asas korporat dunia.
Bank tersebut berpendapat bahawa “Trumponomics”, kerjasama antara fiskal dan dasar monetari, peningkatan aktiviti ekonomi global dan kadar faedah rendah berterusan, sebagai empat tema penting yang akan membentuk persekitaran makro pada 2017.
Sementara itu, menurut OCBC Bank, apabila Donald Trump mengangkat sumpah sebagai presiden AS ke-45 lewat hari ini, beliau akan “mewarisi” sebuah ekonomi yang berkembang agak kukuh.
“Demi Asia, marilah kita berharap agar momentum pertumbuhan berkenaan kekal teguh di bawah pentadbirannya,” menurut OCBC dalam laporan mingguannya mengenai perkembangan global.
OCBC Bank berkata, Trump bukan sahaja “mewarisi” ekonomi itu, yang telah berkembang secara kukuh, malah wujud jangkaan besar beliau akan menjadikannya lebih baik. – Bernama