Jangkitan baharu di Indonesia hampir cecah angka 5,000 kes

JAKARTA, 25 SEPT – Jangkitan COVID-19 di Indonesia terus membimbangkan selepas mencatatkan 4,823 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam, jumlah tertinggi sehingga kini sejak kes pertama dikesan di republik itu pada 2 Mac 2020.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, jumlah keseluruhan kes positif kini meningkat kepada 266,854 manakala sebanyak 112,082 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini itu juga, sebanyak 113 lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah kematian kumulatif kini 10,218 orang.

Provinsi Jakarta yang kembali dikuatkuasakan peraturan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) selama dua minggu sejak 14 Sept lepas, masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 67,902 kes, dengan tambahan 1,171 kes baharu.

Gabenor Jakarta Anies Baswedan dalam satu kenyataan mengumumkan PSBB di provinsi itu dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi iaitu sehingga 11 Okt ini. – Bernama