Oleh Sim Y. H. & Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa sebanyak 12 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 yang membawa jumlah keseluruhan kes di Negara Brunei Darussalam kepada 37 orang.
Daripada jumlah kes baharu itu, 11 orang mempunyai kaitan dengan perkumpulan keagamaan, tabligh di Kuala Lumpur (KL), Malaysia.
Pada masa yang sama, kesemua 75 warga tempatan yang telah menyertai perkumpulan tabligh di KL, yang pada masa ini berada di Negara Brunei Darussalam telah menjalani ujian makmal bagi COVID-19, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media Bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa daripada 75 orang itu, 18 didapati positif, 51 negatif manakala enam lagi masih menunggu keputusan ujian. Kesemua mereka, jelasnya lagi, sedang menjalani kuarantin di Perkampungan Sukan atau berada dalam rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan.
Sementara itu, daripada 10 orang yang masih berada di luar negara, seorang daripadanya iaitu warga Brunei yang menuntut di Malaysia, telah dimaklumkan menjalani ujian makmal di Malaysia dan didapati negatif.

Pada masa yang sama, usaha masih dijalankan untuk mengesan sembilan yang lain dan dengan itu, ia bermakna jumlah warganegara Brunei Darussalam yang diketahui telah berada di perkumpulan tabligh di KL setakat ini adalah seramai 85 orang.
Terdahulu Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menerangkan kes-kes positif yang baharu di mana kes 26 ialah seorang wanita tempatan berumur 46 tahun yang merupakan isteri kepada kes 12. Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke KL dan tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan.
Sementara itu, kes 27 ialah lelaki berumur 21 tahun, anak kepada kes 12. Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke KL dan baru mengadu sengal-sengal badan hari ini. Kes 28, ialah seorang lelaki berumur 25 tahun adalah juga anak kepada kes 12 di mana beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke KL dan tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan.
Manakala itu, kes 29 ialah seorang lelaki berumur 16 tahun adalah juga anak kepada kes 12 dan beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke KL dan telah mula mengalami batuk dan selesema pada 9 Mac. Kes 30 ialah seorang perempuan berumur 13 tahun adalah juga anak kepada kes 12 dan beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke KL dan tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan.
Bagi kes 31 pula, ialah seorang lelaki warga tempatan berumur 64 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia dan Malaysia di mana beliau telah pergi ke KL melalui Labuan pada 17 Februari dan seterusnya melanjutkan perjalanan ke Jogjakarta, Indonesia.
Beliau telah pulang ke Negara Brunei Darussalam melalui KL (transit) pada 4 Mac dan seterusnya menaiki pesawat Air Asia AK5175 ke Labuan di mana beliau telah pulang dari Labuan pada hari yang sama serta telah mula mengalami batuk sejak 10 Mac.
Kes 32 ialah seorang wanita tempatan berumur 25 tahun yang merupakan isteri kepada kes 19 di mana beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke KL dan tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan. Sementara itu, kes 33 ialah seorang lelaki berumur 39 tahun ialah adik kepada kes 13 dan beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke KL dan tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan.
Manakala itu, kes 34 seorang anak damit perempuan berusia dua tahun ialah anak saudara kepada kes 13 dan kes ini tidak mempunyai sejarah perjalanan ke KL dan tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan. Kes 35 ialah seorang lelaki tempatan berumur 60 tahun yang menyertai perkumpulan keagamaan (tabligh) di KL. Beliau kemudiannya pergi ke New Delhi, India pada 4 Mac bersama tiga rakannya yang juga bersama-samanya di perkumpulan keagamaan di KL di mana beliau telah pulang ke tanah air dengan menaiki penerbangan Royal Brunei BI874 (tempat duduk 27K) pada 11 Mac.
Beliau hanya mula mengadu batuk dan selesema pada hari ini serta ketiga-tiga rakan beliau masih berada di luar negara dan adalah dinasihatkan untuk menjalani ujian makmal bagi COVID-19 secepat mungkin, di mana saja mereka berada. Bagi kes 36 pula, ialah seorang lelaki tempatan berumur 56 tahun yang juga telah menyertai perkumpulan keagamaan di KL dan beliau telah pulang ke tanah air pada 5 Mac dengan menaiki pesawat BI872 dan mula menunjukkan tanda-tanda jangkitan iaitu demam panas, batuk dan selesema pada 7 Mac.
Manakala itu, kes 37 ialah seorang warga tempatan berumur 28 tahun dan kes ini tidak menyertai perkumpulan keagamaan di Kuala Lumpur tetapi telah menghadiri satu perkumpulan tabligh di premis persendirian di Daerah Brunei dan Muara pada 5 Mac di Negara Brunei Darussalam yang juga turut dihadiri oleh beberapa orang jemaah yang telah menyertai perkumpulan tabligh di KL. Bagi kes ini, Yang Berhormat Dato menyeru kepada sesiapa yang telah menyertai perkumpulan keagamaan tersebut untuk tampil ke hadapan atau menghubungi Talian 148 bagi mengetahui maklumat mengenai tindakan selanjutnya.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menjelaskan semua kes itu sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dalam keadaan yang baik dan stabil, tidak menghidap demam panas pada masa ini dan tidak memerlukan bantuan pernafasan.
Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan masih giat menjalankan penyiasatan kontak bagi setiap kes dan setakat ini, sebanyak 523 orang telah diarahkan untuk menjalani kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Sementara itu, sejak wabak COVID-19 bermula pada awal Januari 2020, sebanyak 478 ujian makmal bagi COVID-19 telah dijalankan yang meliputi 319 orang.
Kementerian Kesihatan turut menasihati orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa).