Jangkitan COVID Korea U ‘terkawal’

SEOUL, 27 MEI – Korea Utara berkata penularan COVID di negara itu terkawal, dengan media kerajaan melaporkan penurunan jumlah kes bagi hari ketujuh berturut-turut ketika petugas kesihatan ‘mempergiat’ ujian dan rawatan.

Tetapi pakar mempersoalkan angka rasmi itu memandangkan negara terpencil itu memiliki sistem penjagaan kesihatan paling teruk di dunia dan tidak mempunyai ubat untuk merawat COVID atau kemampuan melakukan ujian besar-besaran.

Agensi Pusat Berita Korea (KCNA) berkata ‘perkembangan’ telah dicapai dalam mendiagnosis dan merawat pesakit hasil ‘usaha keras’ petugas perubatan.

Korea Utara mengumumkan kes koronavirus pertama pada 12 Mei dan melaksanakan ‘sistem kecemasan pencegahan pandemik maksimum’, dengan pemimpin Kim Jong Un menjadikan dirinya di barisan hadapan dan pusat bagi tindak balas kerajaan.

Kim menyalahkan pegawai-pegawai yang malas atas kelalaian mereka sehingga menyebabkan penularan.

Seorang doktor memberikan ubat kepada penduduk di farmasi di Pyongyang. Korea Utara mengumumkan bahawa penularan COVID di negara itu sudah ‘terkawal’. – AFP

Pada hujung minggu media kerajaan berkata epidemik telah berjaya dikawal, dan KCNA mengulangi berita tersebut pada Selasa.

“Morbiditi dan kadar kematian di seluruh negara menurun dengan drastik,” menurut laporan agensi berita.

Hari ini, ia melaporkan lebih 100,000 kes baharu ‘demam’, menurun daripada 390,000 sehari sebelumnya yang dilaporkan awal bulan ini.

KCNA juga melaporkan satu lagi kematian disahkan hari ini – menjadikan jumlah keseluruhan kepada 69 orang – dan mendakwa kadar kematian kekal 0.002 peratus. Ia berkata lebih tiga juta penduduknya jatuh sakit.

Korea Utara tidak memberikan vaksin kepada kira-kira 25 juta penduduknya, selepas menolak suntikan yang ditawarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. – AFP