Jangkitan rabies dikesan di Sarawak

KUCHING, 10 Mei – Satu lagi kes jangkitan rabies pada manusia dikesan, menjadikan sehingga kini 10 jangkitan ke atas manusia telah disahkan sejak wabak rabies, atau penyakit anjing gila mula diisytihar di Sarawak Julai tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu lapan individu telah meninggal dunia, satu kes discaj daripada hospital dan dirawat di rumah, manakala kes terbaru ini membabitkan seorang kanak-kanak lelaki warga negara asing berumur tiga tahun sembilan bulan, kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menurutnya kanak-kanak itu memasuki Kuching, Sarawak, bersama ibunya pada bulan September 2017 menggunakan pas lawatan sosial, dan hasil siasatan mendapati dia digigit anjing liar semasa berada di kediaman mereka di Kampung Sandong, Kuching awal April lepas.

“Kanak-kanak ini telah dibawa ke Klinik Kesihatan kerajaan yang berhampiran di mana luka gigitan dicuci dan suntikan anti-tetanus (ATT) diberikan dan dinasihatkan mendapatkan rawatan selanjutnya di fasiliti kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa oleh keluarganya ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, HUS pada 3 Mei lepas kerana mengalami demam panas selama lima hari serta menunjukkan tanda-tanda kegelisahan dan kekeliruan. – Bernama