Jangkitan virus ‘amat membimbangkan’ di Jerman

BERLIN, 28 SEPT – Canselor Angela Merkel amat bimbang mengenai peningkatan mendadak jangkitan koronavirus baharu di Jerman, kata jurucakapnya hari ini, menyeru rakyat supaya mengekalkan langkah menjaga kebersihan termasuk memakai penutup mulut dan hidung sekiranya penjarakan sosial tidak dapat dilaksanakan.

“Perkembangan jumlah jangkitan amat membimbangkan kami,” kata Steffen Seibert. “Kami boleh melihat daripada beberapa rakan negara Eropah kami mengenai hala tuju perkembangan tersebut.”

Dalam satu mesyuarat dengan pegawai kanan parti CDU, Merkel mengingatkan bahawa jumlah jangkitan baharu – buat masa sekarang pada 2,000 sehari – mungkin meningkat kepada 19,200 sehari menjelang Krismas jika trend tersebut ‘berterusan’, beritahu sumber parti kepada AFP. Amaran canselor keluar sehari sebelum beliau dijangka mengadakan sidang video bersama menteri 16 negeri Jerman mengenai langkah yang harus diambil seterusnya untuk mengurangkan angka jangkitan.

Jerman mula melonggarkan langkah ketat termasuk penutupan kedai atau mengehad jumlah orang yang bertemu mula April, selepas sekatan beberapa minggu mengurangkan jangkitan baharu daripada kemuncak 6,000 sehari. Semasa mesyuarat CDU, Merkel juga dilaporkan memetik keutamaan harus diberikan dari segi sektor yang mana boleh dibuka sementara memerangi pandemik.

“Kami mesti menetapkan keutamaan, mengekalkan ekonomi beroperasi, sekolah dan tadika dibuka,” kata beliau, menurut akhbar Bild. – AFP