Jangkitan virus di Beijing membimbangkan

BEIJING, 16 JUN – Situasi koronavirus di Beijing adalah ‘sangat teruk’, seorang pegawai bandar memberi amaran hari ini, selepas 27 jangkitan baharu dilaporkan di ibu negara China daripada kluster yang telah meningkatkan lagi usaha pengesanan kontak jangkitan.

Jangkitan itu – yang dipercayai bermula di pasar makanan borong Xinfadi di kota ini – telah menimbulkan kekhua-tiran kepada negara itu selepas mereka berhempas pulas menangani penularan wabak itu melalui pemeriksaan dan tindakan lockdown yang drastik pada awal tahun ini.

Kes baharu itu menjadikan jumlah jangkitan yang disahkan di Beijing selama lima hari terakhir kepada 106 orang, ketika pihak berkuasa memerintahkan lockdown untuk hampir 30 komuniti di bandar itu dan mengambil sampel ujian daripada puluhan ribu orang.

China telah mengurangi sebahagian besar sekatan anti-koronavirusnya dalam beberapa bulan terakhir selepas kerajaan telah mengisytiharkan kejayaan dalam menangani wabak berkenaan yang muncul di Wuhan akhir tahun lalu.

“Situasi wabak di ibu kota adalah sangat teruk,” kata jurucakap bandar Beijing Xu Hejian dalam satu sidang media.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan kebimbangan jangkitan baharu kluster itu terhadap penduduk di ibu kota itu.

Pihak berkuasa di bandar itu mengatakan mereka akan mengambil sampel ujian pemilik dan pengurus gerai di semua pasar makanan, restoran dan kantin kerajaan. Honglei, pengurus kedai rantaian runcit Shuguoyan, memberitahu AFP bahawa 13 kakitangannya semuanya diuji negatif. Pelanggan kelihatan yakin dengan ujian, katanya, tetapi pesanan dalam talian meningkat 10 kali ganda dalam beberapa hari terakhir.

“Orang ramai merasa khuatir kemungkinan berlakunya kesesakan di kedai-kedai atau mereka mungkin dijangkiti,” katanya.

Saringan sampel ujian yang dilakukan Beijing telah diperluas menjadi 90,000 sehari, menurut agensi berita negara Xinhua. – AFP

Anggota perubatan memakai penutup mulut dan hidung ketika sampai di kemudahan pemeriksaan bagi pengambilan sampel ujian virus daripada mereka yang mengunjungi Pasar Xinfadi atau yang tinggal berhampiran dengan pasar berkenaan. – AFP