Jangkitan virus di Indonesia, Singapura terus meningkat

JAKARTA, 10 JULAI – Kes positif COVID-19 di Indonesia berterusan meningkat kepada 72,347 kes, iaitu tambahan 1,611 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 52 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 3,469 orang.

“Sebanyak 13,882 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19,” katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi, iaitu 1,152 kes, diikuti Jakarta (671 kes), Jawa Tengah (235), Kalimantan Selatan (211) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Provinsi tertinggi kes positif keseluruhan adalah di Jawa Timur, iaitu sebanyak 15,730 kes, diikuti Jakarta (13,739 kes) dan selebihnya di 32 lagi provinsi lain.

Orang ramai memakai penutup mulut dan hidung semasa berjalan di Jakarta bagi mengekang penularan koronavirus pada 7 Julai lalu. Indonesia dan Singapura terus mencatatkan peningkatan jangkitan virus dengan ribuan lagi jangkitan baharu dikesan. – AFP

Sementara itu, Singapura pula melaporkan 191 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan 45,613 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan republik itu hari ini, sebanyak 16 kes dalam komuniti dilaporkan, melibatkan tujuh warga tempatan atau pemastautin tetap dan sembilan pemegang permit kerja. Berdasarkan siasatan awal, lapan daripada 16 kes berkenaan adalah kontak rapat kes-kes terdahulu dan telah dikuarantin, sementara kes-kes lain masih dalam siasatan, kata kementerian itu dalam kenyataan di sini.

Menurut MOH, turut dilaporkan satu kes import yang telah diletakkan di bawah kuarantin di rumah sejurus tiba di Singapura. Sebahagian besar kes baharu yang dilaporkan melibatkan pemegang pas kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

Sementara itu, data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 608 daripada keseluruhan kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,011 kes jangkitan dalam komuniti dan 42,803 adalah pekerja asing yang tinggal di asrama.

Setakat tengah hari semalam, 41,645 atau kira-kira 92 peratus pesakit telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital atau pusat jagaan komuniti. Kementerian itu juga berkata sebanyak 197 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dengan seorang ditempatkan di unit rawatan rapi. – Bernama