Jangkitan virus di Korea S kembali meningkat

SEOUL, KOREA SELATAN, 22 JULAI – Hanya beberapa hari selepas pegawai Korea Selatan dengan penuh harapan menyatakan wabak COVID-19 negara itu terkawal, pihak berkuasa kesihatan telah melaporkan 63 lagi kes baharu, peningkatan dua kali ganda dalam penularan tempatan dan jangkitan yang diimport.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea Selatan (KCDC) hari ini mengatakan sekurang-kurangnya 36 daripada kes baharu itu berasal dari kawasan metropolitan Seoul yang memiliki penduduk yang padat, di mana kira-kira separuh daripada 51 juta orang di negara ini tinggal. KCDC tidak segera mengesahkan sama ada jumlah itu merangkumi kluster baharu yang dikesan di unit tentera barisan hadapan di Pocheon, utara Seoul, di mana sekurang-kurangnya 13 tentera dilaporkan positif.

KCDC mengatakan 29 dari kes baharu itu adalah penularan tempatan dan mengaitkan 34 kes lain dengan kedatangan antarabangsa ketika virus itu terus merebak di Asia, Amerika Syarikat dan beberapa negara lainnya. Kerajaan juga merancang untuk mengirim dua pesawat tentera ke Iraq hari ini untuk membawa balik sekitar 300 pekerja pembinaan warga Korea Selatan di te-ngah penyebaran virus di sana.

Timbalan Menteri Kesihatan Kim Gang-lip semasa taklimat koronavirus hari ini menyeru kepada semua warga untuk sentiasa meningkatkan kewas-padaan terhadap jangkitan tersebut.

Para pegawai melihat kes-kes yang diimport sebagai ancaman yang lebih rendah, tatkala ia telah menguatkuasakan perintah untuk menjalani ujian swab dan kuarantin selama dua minggu bagi semua orang yang tiba dari luar negara. – AP