Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Janji China bukan kerana AS

    BEIJING, 12 April – China menafikan janji Presiden Xi Jinping untuk membuka ekonomi negara itu dengan lebih luas adalah disebabkan oleh perbalahan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan mengingatkan ia bersedia untuk menyerang balas pada mana-mana tindakan perlindungan baru AS.

    Xi pada Selasa berjanji akan mengurangkan tarif dan membuka ekonomi dalam apa yang dilihat sebagai tanda

    perdamaian untuk meredakan kebimbangan perang perdagangan AS, selepas Donald Trump pada minggu lalu mengugut akan mengenakan levi baru ke atas barangan China bernilai berbilion dolar.

    Presiden AS mengalu-alu ucapan tersebut dan berkata beliau melihat berakhirnya perbalahan, yang telah membelenggu pasaran sejak awal Mac.

    Namun jurucakap Kementerian Perdagangan, Gao Feng, mengingatkan bahawa Beijing bersedia menyerang balas sekiranya AS meneruskan dengan agenda ekonomi negaranya.

    “Jika pihak AS menentukan haluannya sendiri dan bertegas meneruskan dasar satu hala dan perlindungan perdagangan, pihak China akan melawan dan menentang mereka sehingga ke akhir,” beritahu Gao kepada wartawan pada taklimat berita.

    Pasaran dunia semakin pulih selepas Xi berjanji pada satu forum ekonomi untuk mengurangkan tarif kereta, melindungi harta intelektual dan mengambil langkah lain untuk membuka ekonomi China dengan lebih luas. “China mengambil inisiatif untuk membuka pasaran dan

    membolehkan semua negara di seluruh dunia menikmati kepesatan perkembangan ekonomi China,” kata Gao.

    Namun, beliau menambah ia ‘tidak ada kena mengena dengan perselisihan perdagangan China dengan AS’ dan ‘berharap sesetengah orang di AS tidak salah anggap situasi tersebut’.

    Gao sekali lagi melenyapkan harapan pasaran bahawa dua ekonomi terbesar dunia itu telah berunding mengenai isu perdagangan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda