Janna Nick masuk hospital

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Paling Popular (ABPBH) ke-34, Janna Nick dimasukkan ke hospital selepas mengalami muntah beberapa kali ketika menyertai perlawanan lumba kereta Toyota Gazoo Racing Malaysia di Sepang, Sabtu lalu.

Menerusi laman sosial Instagram (IG), Janna berkongsi sedang menikmati bubur beberapa jam lalu, bagaimanapun meminta peminat agar tidak risau akan keadaannya.

Sebelum ini, teman lelaki, Dini Schatzman dimasukkan ke hospital sehari selepas malam kemuncak, ABPBH 34 akibat demam dan jangkitan kuman.

“Saya baik-baik sahaja, tiruskan muka? Makan muntah, makan muntah. Tu la korang complain sangat kita gemuk,” tulis pelakon Misteri Mona itu.

Biarpun kesihatan tidak mengizinkan, Janna dilihat membuka ruangan soalan untuk bertanyakan kepada pengikutnya mengenai punca vertigo.

Janna mengalami muntah beberapa kali ketika menyertai perlawanan lumba kereta Toyota Gazoo Racing Malaysia di Sepang, Sabtu lalu. – Agensi

Janna berkata, selera makan terganggu dan ia tidak pernah dialami akibat kesakitan yang ditanggung.

“Selalu kalau sakit, saya tetap kuat makan. Kali ini, baru kenal istilah tiada selera makan,” katanya.

Janna berkata, masalah vertigo yang dihadapi tiada kena mengena dengan perlumbaan kereta disertai tiga hari lalu. Malah, dia juga bercadang menjalani ujian imbasan MRI.

“Saya akan menjalani ujian imbasan, harap-harap tiada apa-apalah,” tulisnya.

Katanya, dia tidak pernah alami situasi berkenaan, malah, kali pertama berdepan masalah vertigo.

Salah seorang pengikut berkongsi, masalah vertigo boleh berlanjutan antara tiga hingga empat bulan.

Namun, Janna berharap dapat sembuh secepat mungkin.

“Allahu lamanya, saya harap dapat pulih secepat mungkin,” katanya yang tidak menolak masalah vertigo dialami mungkin disebabkan ubat kemurungan yang diambil. – Agensi