Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba sahaja pelakon dan pengacara, Janna Nick berkongsi gambar mengenakan pakaian pengantin tradisional di Instagram.
Anggun mengenakan kebaya daripada kain songket, perkongsian Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Munir dengan kapsyen tarikh 1.11.21 bersama emoji cincin mengundang perhatian warganet.
Ruang komen juga dihujani dengan ratusan ucapan tahniah yang rata-ratanya menyangka pelakon berkenaan sudah berkahwin.
Bagaimanapun pelakon berusia 26 tahun itu memberitahu gambar tersebut diambil ketika menjayakan salah satu babak drama berjudul Shakira yang masih dalam penggambaran.
“Bukan saya sengaja nak beri bayangan atau teka-teki. Sekadar hendak kongsi gambar sewaktu penggambaran sahaja,” kata Janna.

Menerusi laporan media sebelum ini, Janna berkata dia akan berkahwin selepas rambutnya panjang sehingga paras pinggang.
Janna yang juga seorang penyanyi turut memberitahu dia tidak pernah berasa tertekan dengan pertanyaan berkaitan perkahwinan.
Dalam pada itu, pelakon drama Marry Me Senorita ini menegaskan dia akan berkongsi berita gembira berkaitan perkahwinan apabila sudah tiba masa yang sesuai.
“Macam yang saya beritahu sebelum ini, buat masa sekarang perancangan ke arah itu belum lagi. Apa-apa pun, doakan yang terbaik untuk kami,” ujarnya.
Dalam pada itu rata-rata peminat juga seperti sudah mengetahui niat Janna berkongsi foto berkenaan dengan ada antara mereka sudah dapat menghidu ia sekadar lakonan semata-mata.
Untuk rekod, Janna kini menjalinkan hubungan cinta dengan aktor kelahiran Switzerland iaitu Dini Azan Schatzmann sejak Jun 2019. – Agensi