JANS, CIDB meterai MoU

KOTA KINABALU, 12 April – Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi memperkasakan pemegang lesen kontraktor yang berdaftar dengan jabatan berkenaan.

Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony berkata sudah tiba masanya JANS menaik taraf kemahiran teknikal dan asas kepada semua pemegang lesen yang berdaftar di jabatan berkenaan bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kami mengambil inisiatif bekerjasama dengan CIDB melalui Akademi Binaan Malaysia (ABM) untuk mengadakan kursus kepada semua pemegang lesen yang berdaftar di JANS,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU berkenaan di sini hari ini.

Pada majlis itu JANS diwakili pengarahnya Amarjit Singh manakala CIDB diwakili Ketua Pegawai Operasi ABM Wilayah Sabah Tadzul Radim dan disaksikan oleh Peter dan Pengarah CIDB Sabah Rosmen Ag Hassan.

Mengulas lanjut Peter berkata, sebelum ini pihak JANS sendiri yang akan meluluskan pemberian lesen berkenaan tanpa kerjasama pihak ketiga.

“Namun apabila MoU ini dimeterai, pemegang lesen haruslah mendapat sijil atau kelulusan daripada CIDB sebelum mendaftar dengan JANS. Ini kerana kami tidak mahu pemegang lesen yang membuat kerja-kerja penyelenggaraan di jabatan ini tidak mengetahui apa kerja yang mereka buat,” katanya.

Sementara itu, Peter berkata kerajaan Sabah belum berhasrat untuk menaikkan tarif air di negeri ini, walaupun enam negeri di Semenanjung telah bersetuju berbuat demikian.

“Kami belum ada cadangan untuk menaik tarif air kerana kami faham kini kos sara hidup semakin tinggi dan tidak mahu membebankan rakyat dengan kenaikan tarif air,” katanya. – Bernama

Datuk Peter Anthony ketika menyaksikan pertukaran dokumen antara wakil Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan wakil Jabatan Air Sabah bagi memperkasakan pemegang lesen kontraktor yang berdaftar dengan jabatan berkenaan, kelmarin. – Bernama