Pelakon sensasi, Rozita Che Wan berkongsi jarak usia 11 tahun antaranya dan suami, Zain Saidin tidak pernah menghalang kebahagiaan sepanjang lebih satu dekad melayari perkahwinan.
Rozita atau mesra disapa Che Ta berkongsi perkara itu menerusi hantarannya di Instagram (IG), kelmarin.
“Kami kahwin dengan Zain pada umur 40 tahun dan Zain pula 29 tahun. Perbezaan usia tak jadi masalah sebab kelakuan kami macam orang muda dan perangai Zain seusianya,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Rozita berkata, dia bertuah dikurniakan lelaki bujang untuk perkahwinan keduanya.
“Untuk perkahwinan kali kedua, kami rasa lebih mudah bila kita kahwin dengan lelaki bujang, senang dibentuk, mengikut, tambahan pula beza umur Zain dengan Ammar dan Aniq selama 10 tahun lebih saja, jadi senang nak rapat.
“Zain jenis tak cerewet, ikut suka saja kami nak buat apa dan bagi kebebasan penuh (itu yang kita nak kan sebagai isteri).
“Apa yang kami tak suka, dia tak akan up dan apa yang dia suka kami ikut saja. Rasanya itulah yang membuatkan kami serasi. Alhamdulillah.
“Dalam perkahwinan ini juga suami isteri kena ada toleransi, insyaAllah akan okey, selain daripada dapat suami yang setia,” katanya.
Menerusi hantaran itu, Rozita turut memuat naik gambarnya pernikahannya bersama Zain serta gambar fotografi terdahulu.
Dari tinjauan BH Online, Zain tidak meninggalkan sebarang komen pada hantaran itu mahupun membuat hantaran meraikan hari ulang tahun perkahwinan mereka.
Rozita dan Zain mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013.
Hasil perkahwinan, Rozita dan Zain dikurniakan cahaya mata perempuan, Aaisyah Dhia Rana, 10. – Agensi