MONACO, 3 Mei – Jurulatih Monaco, Leonardo Jardim menyuarakan harapan bahawa kapten pasukan, Radamel Falcao akan kekal di kelab itu bagi musim depan dan seterusnya selepas menghidupkan semula kerjayanya dalam keadaan bergaya.
“Sudah tentu semua orang mahukan pemain terbaik untuk kekal di Monaco dan Falcao adalah seorang pemain yang hebat,” Jardim memberitahu wartawan di Stade Louis II menjelang perlawanan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara Monaco menentang Juventus esok.
Bintang penyerang Colombia, Falcao, menjaringkan 28 gol dalam semua persaingan musim ini dalam satu kebangkitan yang luar biasa selepas kecederaan lutut yang menyaksikannya tidak beraksi dalam Piala Dunia 2014 dan dua musim dalam pinjaman di Liga Perdana Inggeris yang terbukti malapetaka.
Kontraknya sekarang sah sehingga 2018 dan pada Januari dia menolak tawaran menguntungkan untuk pergi dan beraksi di China.
Dalam satu temu bual bersama harian sukan Perancis, L’Equipe yang diterbitkan semalam Falcao mengakui bahawa dia gembira untuk melanjutkan persetujuannya.

“Sudah tentu saya mahu,” kata Falcao, 31.
“Saya merasa gembira. Kami gembira dan keputusan adalah bagus. Selain itu, segalanya bergantung ke atas objektif kelab.
“Perkara ideal adalah untuk membuat keputusan yang sesuai bagi kedua belah pihak.
Jika objektif Monaco terus untuk memenangi gelaran di Perancis dan Eropah, sebab saya datang ke sini, jadi saya gembira untuk kekal.” – AFP