PARIS, 7 Feb – Jurulatih Monaco, Leonardo Jardim berkata pasukannya perlu bijak menangani tekanan selepas meraih kelebihan tiga mata di puncak liga ke atas pesaing kejuaraan dalam pemburuan mahkota Ligue 1 sejak 2000.
Radamel Falcao telah menjaringkan dua gol ketika Monaco menewaskan Nice 3-0 minggu lalu bagi memisahkan mata antara pesaing rapat mereka itu, dengan juara bertahan Paris Saint-Germain juga ketinggalan tiga mata.
“Ia lebih sukar untuk kekal berada di puncak berbanding mengejarnya,” kata Jardim menjelang kunjungan pasukannya ke Montpellier.
“Saya sangat memberikan tumpuan pada diri kami sendiri, itu lebih penting. Kami bekerja keras untuk persediaan menghadapi perlawanan ke satu perlawanan. Anda tidak boleh memikirkan pasukan lain. Kami di puncak dan matlamat kami adalah mengekalkannya.”
Monaco kekal bersaing dalam empat kejohanan, sudah layak bagi perlawanan final Piala Liga menentang PSG, dan berdepan Manchester City dalam aksi 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara.
Mereka juga telah menjaringkan gol ke-100 musim ini pada hujung minggu lalu, sementara kembalinya prestasi terbaik Falcao merupakan faktor utama di sebalik kebangkitan Monaco sebagai ancaman sebenar penguasaan PSG selama empat tahun.
“Dia adalah pemain kelas dunia. Kakitangan saya dan saya sendiri telah bekerjasama menanganinya agar dia dapat mengembalikan prestasi sebenarnya, tetapi kualitinya memang tetap ada,” kata Jardim mengenai kemenangan ke atas Nice. – AFP