Jaringan calvert lewin julang everton

LONDON, 14 SEPT – Jaringan dari Dominic Calvert-Lewin dan aksi memukau James Rodriguez telah membantu Everton mencatat kemenangan 1-0 ke atas Tottenham dalam perlawanan pembukaan musim Liga Perdana Inggeris kelmarin.

Calvert-Lewin melakukan lompatan mengatasi pemain pertahanan Eric Dier dan Toby Alderweireld untuk menyambut bola dari sepakan percuma Lucas Digne lalu menanduk deras bola melepasi penjaga gol Hugo Lloris 10 minit sebelum tamat separuh masa pertama.

“Perlawanan ini menunjukkan bahawa kami mampu bersaing dengan sesiapa,” kata ketua jurulatih Everton, Carlo Ancelotti selepas menerajui kelab Merseyside untuk meraih kemenangan pertama mereka ke atas Tottenham sejak 2008.

Everton telah mensia-siakan peluang mudah untuk meletakkan kedudukan mereka di hadapan pada separuh masa pertama apabila Richarlison terlepas peluang menjaringkan gol.

Pemain Brazil itu membuat larian mengejar bola hantaran ke belakang dari Ben Davis dan menewaskan Lloris tetapi percubaannya tersasar keluar.

Gol hasil tandukan Dominic Calvert-Lewin bantu Everton tewaskan Tottenham Hotspur dalam perlawanan pembukaan musim Liga Perdana Inggeris kelmarin.-AP

Sekurang-kurangnya Richarlison menunjukkan usaha untuk menjaringkan gol. Manakala penyerang Tottenham, Harry Kane tidak begitu menyerlah di bahagian serangan, dengan hanya menyentuh bola sebanyak dua kali di dalam kawasan penalti Everton.

Ini merupakan kali pertama pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho – yang sebelum ini menguruskan Chelsea dan Manchester United – tewas dalam perlawanan pembukaan dalam musim Liga Perdana Inggeris, selepas gagal untuk menandatangani pemain untuk menggantikan Kane.

“Tekanan kami di bahagian hadapan sangat lemah,” kata pengurus Spurs, Jose Mourinho, yang menamatkan musim lalu di tangga ke-6 dalam musim pertamanya bersama Tottenham. “Mereka malas memberi tekanan dan apabila anda malas memberi tekanan anda membiarkan pemain lawan untuk memulakan serangan dari bahagian pertahanan”.

Mourinho mendedahkan koronavirus – yang menghindarkan peminat dari pergi ke stadium – telah memberikan impak yang lebih besar ke atas skuad berbanding sebelumnya.

“Harry Kane berlatih bersama kami, Moussa Sissoko dan beberapa pemain yang lain,” kata Mourinho. “Kami mempunyai hak untuk tidak menyebut pemain mana yang dijangkiti, tetapi kami mempunyai pemain yang positif COVID-19. Kami terpaksa menempatkan pemain dalam pengasingan diri disebabkan jarak yang dekat dengan pemain yang dijangkiti.” – AP