MADRID, 10 MEI – Rembatan menarik Kevin De Bruyne memberikan Manchester City seri 1-1 dengan Real Madrid dalam pertemuan pusingan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara kelmarin.
Pemain Belgium itu menjaringkan gol penyamaan untuk pasukan Pep Guardiola selepas Vinicius Junior membuka jaringan untuk pasukan juara bertahan melalui percubaan jarak jauh yang luar biasa.
Madrid berjaya merantai sepenuhnya penyerang berbisa, Erling Haaland tetapi percubaan deras De Bruyne menyebabkan kedudukan terikat menjelang perlawanan kedua di Manchester minggu depan.
Pemenang rekod 14 kali itu menumbangkan City pada peringkat yang sama musim lalu walaupun diketepikan dalam kedua-dua perlawanan, dan mendahului di Santiago Bernabeu dengan gol pembuka yang tidak dijangka.
Bagaimanapun apabila Madrid menemui rentak pada separuh masa kedua, City, yang masih mengejar trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama, memberikan tindak balas melalui rembatan De Bruyne.

Pemain pertahanan tengah Madrid, David Alaba dan Antonio Rudiger tidak memberi ruang kepada Haaland untuk bergerak.
Pasukan pelawat menguasai sebahagian besar separuh masa pertama, dengan hampir 70 peratus penguasaan bola, tetapi ketinggalan pada masa rehat.
Thibaut Courtois menepis rembatan awal dari De Bruyne, Rodri dan Haaland, ketika City mendominasi permainan dan Madrid bertahan, menyerap tekanan.
Tuan rumah mendahului menerusi serangan balas maut 10 minit sebelum rehat, dengan Eduardo Camavinga melepaskan diri daripada kawalan Bernardo Silva dan menghantar bola kepada Vinicius.
Pemain Brazil itu menyasarkan bola ke penjuru kiri atas dari jarak hampir 25 ela, Ia adalah satu-satunya rembatan Madrid pada separuh masa pertama, tetapi ia adalah rembatan paling berkesan dalam permainan. – AFP