Jaringan Doncic julang Mavericks, tewaskan Clippers

MIAMI, 24 OGOS – Luka Doncic tidak akan membenarkan kecederaan buku lali menjejaskannya, menjaringkan percubaan tiga mata sekali gus memenangi perlawanan semasa pembaz dibunyikan untuk menjulang Dallas Mavericks dengan 135-133 semasa kemenangan playoff dalam masa tambahan ke atas Los Angeles Clippers kelmarin.

Pemain Slovenia berusia 21 tahun, yang bermain dengan kecederaan buku lali dan turun beraksi tanpa rakannya, Kristaps Porzingis, menamatkan perlawanan dengan 43 mata, 17 rebound dan 13 assist untuk menyamakan kedudukan pusingan pertama NBA siri playoff dua perlawanan di Western Conference.

“Perlawanan ini lain daripada yang lain,” kata jurulatih Mavericks, Rick Carlisle mengenai aksi hebat Doncic.

Doncic yang menjaringkan mata dengan baki perlawanan tinggal 50 saat untuk menyamakan kedudukan 130-130 kemudian meletakkan Dallas di hadapan dengan dua mata ketika perlawanan berbaki 19 saat.

Dia mencatat triple-double dengan lompatan dari jarak 27 kaki di bahagian sebelah kiri ketika mereka mengejar perlawanan, mencetuskan keraian yang meriah di gelembung kuarantin NBA di Orlando, Florida.

“Saya tidak dapat menjelaskan emosi yang saya rasakan apabila saya melihat bola itu masuk,” kata Doncic. “Apabila saya melihat seluruh pasukan saya meluru ke arah saya, itu merupakan perasaan yang terbaik pernah saya rasakan sebagai seorang pemain.”

Ketika Dallas menyamakan siri perlawanan mereka, Boston menjadi pasukan pertama untuk mara ke pusingan kedua dengan kemenangan 110-106 ke atas Philadelphia 76ers. – AFP

Aksi Luka Doncic membuat percubaan tiga mata pada masa tambahan perlawanan ke-4 playoff NBA.- AP