Jaringan Goretzka selamatkan Bayern

BERLIN, 14 JUN – Bayern Munich hanya memerlukan satu kemenangan sahaja lagi untuk meraih gelaran Bundesliga kelapan berturut-turut mereka apabila jaringan lewat Leon Goretzka melengkapkan kemenangan 2-1 Bayern ke atas Borussia Moenchengladbach di Stadium Allianz Arena semalam.

Penyerang remaja, Joshua Zirkzee meletakkan Bayern berada di depan sebelum jaringan sendiri oleh Benjamin Pavard menyamakan kedudukan untuk pasukan Gladbach, tetapi Goretzka menjaringkan gol ketiganya dalam lima perlawanan liga dengan hanya berbaki baki empat minit sebelum perlawanan tamat.

Walaupun Bayern beraksi tanpa Robert Lewandowski dan Thomas Mueller yang digantung perlawanan, Bayern memperoleh kemenangan ke-13 berturut-turut dalam semua perlawanan untuk mengukuhkan kedudukan liga dengan tujuh mata ke atas Borussia Dortmund yang berada di tangga kedua dengan baki tiga perlawanan sahaja lagi.

Kemenangan di Werder Bremen yang bergelut di zon penyingkiran pada Selasa ini akan mengesahkan Bayern sebagai juara liga Jerman untuk kali ke-30 pada musim pertama Hansi Flick sebagai pengurus.

“Saya gembira pasukan berjaya melakukan kerja keras, itu adalah tiga mata yang sangat penting,” kata Flick.

Aksi pemain tengah Moenchengladbach, Lars Stindl (kiri) dan pemain tengah Bayern Munich, Leon Goretzka semasa bersaing merebut bola pada perlawanan Bundesliga antara Bayern Munich dan Borussia Moenchengladbach semalam di Munich. – AFP

Dortmund yang berada di kedudukan kedua sebelumnya merapatkan jurang mata dengan Bayern ketika tandukan Erling Braut Haaland meraih kemenangan 1-0 ke atas Fortuna Duesseldorf pada perlawanan baru-baru ini.

Bayern perlu berusaha lebih keras lagi, setelah berusaha menang dengan keputusan yang sama di separuh akhir Piala Jerman ke atas Eintracht Frankfurt Rabu lalu. Gladbach membuat permulaan pantas tetapi jaringan awal mereka dibatalkan melalui serangan Jonas Hofmann kerana ofsaid.

Penjaga gol pasukan pelawat, Yann Sommer memberikan kelebihan kepada Bayern pada minit ke-26 apabila hantarannya disambut oleh pemain berusia 19 tahun, Zirkzee, yang dengan tenang menjaringkan gol keempatnya di Bundesliga hanya dalam lapan penampilan. Gladbach pantas menyamakan kedudukan apabila Pavard menjaringkan gol di gawang sendiri lapan minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Kedua-dua pasukan mempunyai peluang di separuh masa kedua, tetapi Goretzka menyelesaikan dengan baik melalui hantaran silang Pavard. – AFP