Jaringan Goulon untuk Anugerah Puskas

PETALING JAYA, 26 JUN – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menghantar pencalonan jaringan pertahanan import Pahang, Herold Goulon untuk Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), hari ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, badan induk itu bersetuju untuk menghantar pencalonan gol berkenaan selepas mendapat sokongan Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang, Tengku Abdul Rahman Almarhum Sultan Ahmad Shah.

“Pahang sudah meluluskan kepada FAM untuk mengemukakan gol tersebut kepada FIFA, dan FAM akan hantar surat pencalonan serta video jaringan tersebut kepada FIFA, hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media program Asian Eleven di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Stuart menegaskan FAM tidak melihat status kewarganegaraan Goulon yang berasal dari Perancis sebagai alasan untuk tidak mencalonkan gol pemain berkenaan untuk Anugerah Puskas. Mengambil contoh penyerang antarabangsa Brazil, Neymar, bekas kelab pemain berkenaan, Barcelona pernah mencalonkan jaringan pemain berkenaan untuk anugerah tersebut, sebelum ini.

Goulon, 31 mencipta jaringan menarik melalui sepakan percuma melebihi jarak 50 meter yang melepasi jangkauan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, ketika Pahang menewaskan Perak 3-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA. – Bernama