MILAN, 24 DIS – Theo Hernandez berjaya menjaringkan gol pada lewat perlawanan untuk mengekalkan AC Milan berada di persada Serie A menjelang tempoh rehat musim sejuk dengan kemenangan 3-2 ke atas Lazio kelmarin.
Milan berada satu mata di hadapan pesaing mereka, Inter yang terdahulu melebarkan rekod kemenangan kepada tujuh perlawanan dengan kemenangan 2-1 ke atas Hellas Verona.
Lazio bangkit dari ketinggalan dua gol hasil daripada Luis Alberto dan Ciro Immobile tetapi pemain pertahanan Perancis, Theo Hernandez meledak gol ketiga semasa waktu kecederaan untuk meraih tiga mata penuh.
Kemenangan Milan diteruskan meskipun tanpa penyerang bintang Zlatan Ibrahimovic yang mengalami kecederaan untuk meneruskan kemenangan tanpa tewas sejak bulan Mac ketika mereka memburu kejuaraan Serie A pertama sejak 2011. Dua kelab yang berpangkalan di Milan kembali bangkit menjelang pertemuan mereka, dengan Roma melonjak ke tangga ketiga, enam mata di belakang Inter, selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Cagliari.
“Saya sangat bangga dengan pemain-pemain,” kata jurulatih, Stefano Pioli yang meraih 34 mata dalam 14 perlawanan Serie A, dua kali ganda mata yang dicatatkan musim lalu pada peringkat ini.
“Mereka melakukan sesuatu yang penting. Dengan Ibra bermain di atas padang membuatkan kami lebih kuat, tetapi kami memanfaatkan karakter semua orang meskipun tanpanya.
“Semangat yang ada dalam diri kami memberikan perbezaan dan kami mesti meneruskan semangat tersebut.” – AFP





























