Jaringan lewat Rashford benam PSG

PARIS, 21 OKT – Marcus Rashford menghasilkan satu lagi jaringan lewat untuk membantu Manchester United menewaskan naib juara musim lalu, Paris Saint-Germain (PSG) di Stadium Parc des Princes pada aksi pembukaan kumpulan Liga Juara-Juara, semalam.

Penyerang England itu yang menyempurnakan penalti di minit-minit akhir perlawanan bagi memastikan kemenangan buat United mengatasi PSG di tempat sama pada kelompok 16 terakhir pada 2019, menjaringkan gol pada minit ke-87 ketika skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer berhak memungut tiga mata dalam Kumpulan H.

“Sudah tentu ia adalah perasaan yang baik. Lebih penting lagi kami memenangi perlawanan dan kami berada dalam kedudukan yang kuat sekarang dalam kumpulan,” kata Rashford kepada BT Sport.

“Ini adalah perlawanan pertama, tumpuan dan intensiti yang kami tunjukkan hari ini, kami harus terus maju dalam perlawanan berikutnya di Liga Perdana Inggeris.”

“Masing-masing mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan. Sebagai penyerang apabila masa semakin berakhir, anda mungkin hanya ada satu peluang dan anda perlu melakukan yang terbaik bagi merealisasikannya,” tambah Rashford selepas mengulangi sejarah dua musim lalu.

United mendahului pada separuh masa pertama dalam aksi yang berlangsung di stadium yang kosong di Paris menerusi penalti kapten pasukan bagi perlawanan itu, Bruno Fernandes.

PSG tampak akan memperoleh seri walaupun persembahan buruk dipamerkan mereka selepas Anthony Martial menanduk masuk sepakan sudut Neymar ke gawang sendiri selepas 10 minit separuh masa kedua bermula dalam saingan kumpulan H itu.

“Ia adalah perasaan yang berbeza, ia adalah permulaan dalam peringkat kumpulan, tetapi kami tetap menang berdepan pasukan hebat,” kata Solskjaer. – AFP

Aksi penyerang Manchester United, Marcus Rashford ketika melakukan rembatan untuk menjaringkan gol semasa perlawanan pertama Liga Juara-Juara UEFA antara PSG dan Manchester United di Stadium Parc des Princes, Paris semalam. – AFP