Jaringan Lukaku julang Inter

MILAN, 26 JULAI – Romelu Lukaku berjaya menjaringkan dua gol untuk membantu Inter Milan menang selesa 3-0 ke atas Genoa untuk meletakan Inter ke tangga ke-2 liga Serie A di belakang Juventus yang mengejar kejuaraan kesembilan berturut-turut hari ini.

Harapan pasukan bimbingan Antonio Conte untuk merebut kejuaraan lebur selepas mencatatkan keputusan seri dalam dua perlawanan terakhir ketika menentang Roma dan Fiorentina.

Tetapi Inter Milan berjaya memintas Atalanta dan merapatkan jurang dengan hanya empat mata di belakang pendahulu liga, Juventus yang bersedia untuk merebut ‘Scudetto’ ke-36 apabila mereka akan bermain menentang Sampdoria di Turin.

“Angka tersebut memberitahu segala-galanya. Saya rasa pemain-pemain saya melakukan tugasan dengan cukup baik. Tetapi sudah semestinya kami boleh memperbaiki lagi.

“Kami tidak mungkin akan memenangi liga tetapi kami perlu terus berazam untuk menamatkan di kedudukan yang tinggi.”

Lukaku menanduk masuk hasil bola hantaran lintang Cristiano Biraghi pada minit ke-34 perlawanan, dan bekas penyerang Manchester United itu sekali lagi berjaya menjaringkan gol kedua hasil larian solo tiga minit sebelum tamat perlawanan. Penyerang kelahiran Belgium berusia 27 tahun kini meledak 23 gol liga pada musim ini, dan 29 gol di keseluruhan kejohanan.

Alexis Sanchez, yang dipinjam dari United, turut mencatat nama sebagai penjaring lapan minit sebelum tamat permainan, dengan menyambut bola hantaran lintang dari Victor Moses untuk menjaringkan gol keempat liga musim ini. “Saya secara peribadi sangat gembira, tetapi kami boleh melakukan dengan lebih baik,” kata Lukaku, yang kini berada di kedudukan ketiga di belakang Istvan Nyers (26) dan Ronaldo dari Brazil (25) untuk gol terbanyak liga oleh pemain Inter di musim sulung mereka. – AFP

Aksi penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku semasa perlawanan menentang Genoa.- AP