Jaringan penalti Bruno kontroversial

BIRMINGHAM, 10 JULAI – Dengan empat kemenangan berturut-turut di Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United berada di landasan yang tepat untuk kembali ke Liga Juara-Juara ketika pasukan itu menunjukkan aksi yang cemerlang di bawah pengurus Ole Gunnar Solskjaer.

Sementara itu, bekas pengurus pasukan Old Trafford sebelum ini, Jose Mourinho, bergelut apabila pasukannya Tottenham seri tanpa jaringan pada perlawanan semalam.

Ketika United meraih kemenangan 3-0 di Aston Villa semalam, Tottenham gagal melakukan sebarang percubaan bahkan gagal menembusi pertahanan yang paling teruk sejak EPL kembali semula bulan lalu.

Tottenham terikat seri 0-0 menentang Bournemouth dikatakan perlawanan yang paling membosankan sejak EPL kembali.

“Persembahan yang tidak cukup bagus,” kata Mourinho.

Berbeza dengan pasukan United yang semakin bertambah baik. Pemain perancang dari Portugal, Bruno Fernandes sekali lagi berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti yang kontroversial, jaringan ketujuh dalam 10 perlawanannya sejak menyertai United Januari lalu dan penyerang remaja, Mason Greenwood juga berjaya menjaringkan gol keempat kariernya dalam tiga perlawanan terakhirnya.

Paul Pogba menambah gol ketiga buat United pada separuh masa kedua dan merupakan gol pertamanya musim ini sejak kembali daripada kecederaan.

United kekal di tempat kelima liga, empat mata berada di belakang tempat keempat Leicester.

Tempat kelima akan cukup untuk layak secara automatik ke Liga Juara-Juara musim ini kecuali Manchester City di tempat kedua berjaya membuat rayuan larangan dari pertandingan Eropah selama dua tahun dibatalkan yang akan diumumkan minggu depan.

United berjaya memperoleh kemenangan yang selesa di Villa Park, tetapi hanya setelah berjaya menjaringkan penalti yang diberikan secara kontroversial. – AFP

Aksi Bruno Fernandes dari Manchester United ketika menjatuhkan dirinya setelah bertembung dengan Ezri Konsa semasa perlawanan antara Aston Villa dan Manchester United di Villa Park di Birmingham, semalam. – AP