Jaringan sendiri bawa Lazio ke suku akhir

MILAN, 22 JAN – Jaringan sendiri oleh penjaga gol Parma, Simone Colombi di minit-minit akhir perlawanan membantu Lazio untuk mara ke suku akhir Piala Itali selepas mencatat kemenangan 2-1 di Rom.

Pemain tengah Lazio, Marco Parolo menjaringkan gol pertama menerusi hantaran lintang Andreas Pereira pada minit ke-23 dalam perlawanan 16 akhir.

Bagaimanapun, Parma berusaha untuk bangkit dengan jaringan Valentin Mihaila menyamakan kedudukan buat pasukan pelawat tujuh minit sebelum perlawanan tamat di Stadium Olimpico.

Ketika perlawanan hampir dibawa ke masa tambahan, Vedat Muriqi menemukan jaringan dengan menanduk bola pada minit ke-90 dengan bola terkena palang sebelum melantun kepada Colombi dan masuk ke dalam gawang sendiri.

Juara tujuh kali Lazio, kali terakhir muncul juara pada 2019 dan mereka akan berdepan Atalanta di Bergamo untuk merebut tempat ke separuh akhir. “Kami beraksi baik pada separuh masa pertama, mencipta peluang, melakukan percubaan dan terkena palang sebanyak dua kali,” kata pengurus Lazio, Simone Inzaghi.

“Bagaimanapun, kami tidak melakukan perkara sama pada separuh masa kedua dan dibolosi gol disebabkan kesilapan sendiri.

“Nasib baik Muriqi berjaya menjaringkan gol dan membawa kami ke suku akhir dengan penuh yakin,” tambahnya. – AFP

Reaksi pasukan Lazio ketika meraikan jaringan gol pertama semasa perlawanan Piala Itali menentang Parma, di Stadium Olimpik Rom, semalam. – AP