Jaringan Vardy buat Arsenal putih mata

LONDON, 26 OKT – Brendan Rodgers mengagumi aksi hebat ‘bertaraf dunia’ daripada Jamie Vardy selepas jaringannya pada minit-minit akhir perlawanan itu menyaksikan Leicester meraih kemenangan 1-0 ke atas Arsenal.

Ia adalah kekalahan ketiga Arsenal selepas empat perlawanan di EPL semalam.

Vardy bagaimanapun masih belum cukup cergas kerana mengalami kecederaan betis baru-baru ini namun pengurus Foxes, Rodgers menurunkannya ketika perlawanan berbaki 30 minit seterusnya menjaringkan gol keenamnya musim ini.

Penyerang berusia 33 tahun itu memang dikenali di gawang Arsenal dan hingga setakat ini sudah menjaringkan 11 gol sepanjang 12 perlawanan liga menentang pasukan itu.

“Rancangan kami adalah untuk sentiasa menurunkan Jamie Vardy dalam perlawanan dan dia dapat melaksanakan tugasnya,” kata Rodgers.

“Dia melakukan sumbangan besar dalam perlawanan besar,” kata Rodgers selepas Leicester meraih kemenangan pertama di Arsenal sejak tahun 1973. Hasil kemenangan itu Leicester kini melonjak kedudukan keempat liga selepas dua kekalahan berturut-turut sebelum ini.

Arsenal kini menghuni tangga ke-10 liga selepas kekalahan kedua liga berturut-turut susulan keputusan sama di Manchester City hujung minggu lalu.

Tapi ini mungkin cerita yang berbeza ketika di awal perlawanan jaringan Alexandre Lacazette dari Arsenal dibatalkan kerana ofsaid. Pengurus Gunners, Mikel Arteta juga kecewa dengan kekurangan rentak pasukannya. – AFP

Reaksi Jamie Vardy dari Leicester ketika meraikan jaringan golnya semasa perlawanan EPL antara Arsenal dan Leicester City di Stadium Emirates di London, semalam. – AP