JAS, JPAS tingkat operasi cegah pembakaran terbuka di Sabah

KUALA LUMPUR, 7 SEPT – Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPAS) mempertingkatkan Operasi Mencegah Kebakaran Terbuka di negeri itu susulan cuaca panas dan kering yang dialami ketika ini.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata pada masa sama JPAS turut memper-tingkatkan rondaan darat berikutan pengaktifan pelan tindakan pencegahan pembakaran terbuka pada musim kering selain mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas kes berkenaan.

“Berdasarkan kajian ke atas tanah gambut yang sering terbakar di Sabah pada tahun lepas, daripada 200,000 hektar tanah gambut yang ada di negeri itu, 36,000 hektar didapati adalah kawasan berisiko kebakaran.

“Sehubungan itu, ceramah dan kempen kesedaran secara berkala selain pengedaran poster larangan pembakaran terbuka turut dilakukan bagi meningkatkan kesedaran awam berhubung masalah ini,” katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Negara hari ini. – Bernama