BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Seramai 195 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya menerima penganugerahan Pingat Kerja Lama (P.K.L) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 tahun 2017.
Penyampaian pingat berkenaan telah diadakan pada majlis yang diselajurkan dengan Majlis Ramah Mesra sempena Hari Raya Aidilfitri 1439H/2018M Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian pingat-pingat ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar.
Majlis juga telah diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Mensyukuri Umur yang Dikurniakan’ yang disampaikan oleh penceramah undangan, Pegawai Perkembangan Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mukrisman Safari bin Haji Mustapha. Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan, daripada 195 orang penerima pingat, seramai 132 orang adalah penerima lelaki dan 63 orang lagi adalah penerima perempuan.


Penganugerahan pingat tersebut adalah sebagai tanda penghargaan dan bukti kepada para penerima atas jasa bakti mereka kepada raja, kerajaan dan tugas yang diamanahkan yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Antara kriteria bagi menerima pingat berkenaan ialah telah berkhidmat sekurang-kurangnya 20 tahun dan mempunyai rekod sangat baik sepanjang perkhidmatan.
Semasa Majlis Ramah Mesra itu juga, Menteri Pembangunan berpeluang untuk beramah mesra bersama pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis berkenaan merupakan acara tahunan untuk saling bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturahim sesama warga kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya, yang mana pada tahun ini ia dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Perumahan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Pemangku Pengarah Kemajuan Perumahan, Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar selaku pengerusi bersama majlis, ketua-ketua jabatan, divisyen dan unit serta para pegawai dan kakitangan di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

































