Jasa sukarelawan sangat dihargai

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KSSUP) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada para sukarelawan daripada pelbagai peringkat masyarakat dan agensi yang menyumbangkan tenaga yang amat bernilai dari awal hingga sekarang.

Ucapan penghargaan itu disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau turut mengongsikan bahawa seramai 6,830 orang telah mendaftar di bawah inisiatif Sukarelawan Belia dan ditugaskan di lebih 90 lokasi di seluruh negara.

“Turut dibanggakan bahawa sejak mula beroperasi pada 9 Ogos 2021, para sukarelawan yang ditempatkan di pusat-pusat agihan catuan makanan telah menghantar catuan makanan kepada 103,793 individu yang menjalani Perintah Kuarantin di 18,552 buah rumah di seluruh negara setakat 15 November 2021,” tambah Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Di samping itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa inisiatif Sumbangan Pandu Lalu di Stadium Negara Hassanal Bolkiah telah berjaya mengumpulkan hampir 57,000 barangan asasi sumbangan orang ramai dan telah dihulurkan kepada 2,687 pemohon yang merangkumi 16,128 individu di keempat-empat daerah.

“Semoga Allah SWT mengurniakan balasan yang setimpal dengan pengorbanan semua pihak.

Mudah-mudahan kita sentiasa diberikan kerahmatan, perlindungan serta nikmat kesihatan yang berpanjangan,” beliau mendoakan di hujung kenyataannya.