Jasper sinonim watak antagonis

AJUKAN saja pertanyaan kepada mana-mana pelakon mengenai watak dan perwatakan, pastinya mereka mahukan cabaran yang menguji kebolehan diri sendiri.

Menurut bekas bintang kelahiran Akademi Fantasia 2016, Jasper Supayah atau nama sebenarnya Jasper James Supayah, watak jahat merupakan cabaran yang dinantikan.

“Dalam dunia lakonan ini saya mahu jadi jahat, pendek kata saya betul-betul meminati perwatakan yang sangat antagonis. Sekurang-kurangnya saya ada satu trademark yang mudah dikenali.

“Sekali orang pandang mereka akan terus dapat rasakan lakonan ini benar-benar antagonis.

“Kalau boleh saya nak jadi pelapis kepada watak-watak antagonis yang satu ketika pernah mewarnai industri seni,” ujar Jasper optimis.

Jasper turut tampil dengan dua drama terbaru iaitu Orang London Balik KL dan Cruise Cinta Lebaran.

Berbicara tentang cabaran, wanita berdarah kacukan India-Cina ini pernah dikecam gara-gara melakonkan watak antagonis yang mengundang kemarahan penonton. Lakonannya menerusi drama Semusim Rindu untuk Astro.

Pun begitu, Jasper tidak ambil pusing jika dihujani kecaman lagi. Sebaliknya menjadikan hal itu sebagai satu perkara yang positif.

“Kecaman kadang-kala dapat membantu dari segi publisiti, mungkin tidak terlalu sihat untuk jangka masa panjang namun sekadar untuk mencuit tentang kerjaya, rasanya tak jadi masalah.

“Bila orang ramai sudah mula bercakap, secara tak langsung mereka akan menonton.

“Kekwat (sikap tidak mesra) atau antagonis hanya di layar televisyen, tapi di dunia realiti saya seorang yang mudah didekati dan mesra dengan orang,” katanya sambil berseloroh.

Dalam perkembangan terbaru, saksikan lakonan Jasper pada bulan Mei ini dalam drama bersiri 13 episod Orang London Balik KL untuk RTM dan Cruise Cinta Lebaran terbitan Zeel Production Sdn. Bhd. lakonan bersama Hannah Delisha dan Aiman Hakim di NTV7 pada hari raya nanti.