Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Jatuh cinta dengan kacang soya Cina

    DAR ES SALAAM – Kacang soya, minuman tradisional Cina yang sangat sedap dan berkhasiat, menjadi minuman yang semakin popular dalam kalangan rakyat Tanzania di desa-desa di rantau Morogoro di barat ibu kota, Dar es Salaam.

    Walaupun susu kacang soya sesuatu yang baharu dalam menu penduduk Tanzania, mereka merasakan ia lazat. Tatu Seif, 62, seorang petani di kampung Kitete, berkata susu kacang soya sedap.

    “Saya suka dan harap kawan-kawan saya pun menyukainya. Ia bagus untuk kesihatan.”

    Populariti minuman sihat baharu ini semakin meningkat disebabkan oleh projek kerjasama dua hala di Tanzania, yang diketuai oleh saintis pertanian China, Li Xiaoyuan tahun ini.

    Li dan pasukan pakarnya dari Universiti Pertanian China (CAU) telah memutuskan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Morogoro untuk mempromosikan projek penanaman jagung dan kacang soya yang dipanggil ‘Kacang Kecil dan Penuh Nutrisi’.

    Ahli projek tanaman jagung dan kacang soya ‘Kacang Kecil dan Penuh Nutrisi’ bekerja di ladang di Morogoro, Tanzania. – Xinhua
    Penolong Setiausaha Pentadbiran dalam Sektor Ekonomi dan Produktif pejabat pesuruhjaya wilayah Morogoro, Rozalia Grayson Rwegasira (kanan), menyampaikan anugerah petani kacang soya terbaik desa Peapea untuk 2022. – Xinhua

    Mereka memilih empat buah kampung percubaan iaitu Peapea, Kitete, Makuyu dan Mtegowasimba sebagai projek perintis di wilayah itu.

    Di bawah projek itu, pakar dengan kerjasama pihak berkuasa Morogoro mengagihkan benih kacang soya kepada petani di empat buah desa pada Januari tahun ini dan memberi panduan di tapak mengenai teknik penanaman dan pengurusan.

    Sehingga akhir Mei, musim menuai untuk kacang soya bermula, membuatkan para petani merasa gembira.

    Nasoro Athumani, 60, telah dinamakan sebagai petani kacang soya terbaik di desa Peapea untuk tahun 2022 selepas keluarganya menanam kacang soya di kawasan seluas 0.75 ekar, menghasilkan kira-kira 400kg kacang itu.

    “Tahun depan saya merancang untuk menanam kacang soya di atas tanah seluas dua ekar,” kata petani itu dengan harapan tinggi.

    Li berkata jagung adalah makanan asasi yang penting di Afrika manakala kacang soya boleh mengimbangi peningkatan pemakanan, sambil menambah bahawa penanaman antara kacang soya dengan jagung boleh meningkatkan struktur pemakanan tempatan dengan lebih berkesan.

    Sementara itu, Rozalia Grayson Rwegasira, Penolong Setiausaha Pentadbiran dalam Sektor Ekonomi dan Produktif pejabat pesuruhjaya wilayah Morogoro, memuji CAU kerana memperkenalkan susu soya di rantau ini, berkata dia menjangkakan projek soya itu memberi manfaat kepada seramai mungkin penduduk, terutamanya kanak-kanak dan wanita.

    Rwegasira berkata pihak berkuasa Morogoro berharap untuk mengukuhkan hubungan dengan pasukan pakar CAU dan memberikan sokongan padu untuk menggalakkan kerjasama pertanian.

    “Susu kacang soya memang bagus, terutamanya untuk kanak-kanak bawah lima tahun, ibu mengandung dan menyusukan bagi meningkatkan tahap kesihatan mereka, dan projek itu harus mencapai seramai mungkin orang,” katanya.

    Rwegasira menambah, penyediaan mesin pengisar untuk membuat tepung kacang soya akan membantu petani dengan mudah membuat lebih banyak produk kacang soya dan oleh itu ia juga akan meningkatkan pendapatan petani melalui penjualan produk kacang soya.

    Ini bukan kali pertama Li Xiaoyun dan pasukannya menjalankan projek bantuan pertanian di Tanzania. Sejak 2011, CAU telah bekerjasama dengan pihak berkuasa Morogoro untuk melaksanakan projek “Banyak Penuaian dengan Teknologi Kecil”, yang memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran dan pendapatan jagung.

    Daripada hanya satu isi rumah di satu desa pada 2011 kepada lebih seribu isi rumah di puluhan kampung, peserta telah menggandakan hasil jagung mereka secara purata, meningkatkan pendapatan, dan kebajikan keluarga dan pendidikan anak-anak mereka.

    Walaupun berlakunya penularan wabak COVID, Pasukan CAU telah berjaya meneruskan mempromosikan projek itu melalui bimbingan dalam talian. Peserta dari kedua-dua projek, dapat menyampaikan kemajuan projek dalam masa nyata melalui emel, persidangan video, serta sembang kumpulan yang disediakan pada platform media sosial China WeChat. Ernest Robert Mkongo, bekas ketua Sektor Ekonomi dan Produktif di wilayah Morogoro, berkata program kerjasama pertanian China-Tanzania sangat penting dalam mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan.

    Mkongo, yang menjadi penyelaras Tanzania untuk projek itu sejak 2011 dan terus bekerja dengan CAU selepas persaraannya, berkata tidak pernah ada cendekiawan dari mana-mana negara lain yang rajin seperti pakar Cina melawat rumah pertanian dan plot tanah ladang.

    Mkongo juga yakin bahawa iklim tempatan, keadaan tanah dan ketinggian adalah baik untuk pertumbuhan kacang soya di wilayah Morogoro, sambil menambah bahawa projek itu akan memberi manfaat kepada lebih ramai orang miskin pada masa hadapan. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...