Jawatankuasa ganti konsultan pantau projek Pan Borneo di Sabah

KOTA KINABALU, 10 Julai – Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah akan membentuk satu jawatankuasa bagi menggantikan konsultan yang dilantik sebelum ini bagi memantau perjalanan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di negeri ini.

Menterinya Datuk Peter Anthony berkata jawatankuasa itu, yang akan dianggotai jabatan dan agensi berkaitan dari kementeriannya serta Kementerian Kewangan Negeri, juga akan menstrukturkan semula pelaksanaan projek itu, khususnya dalam penganugerahan kontrak kepada kontraktor.

“Setakat ini, projek Pan Borneo diteruskan,  dan  ia (pelaksanaannya) akan diperhalusi.

“Kemungkinan juga kita akan menilai balik kontrak-kontrak yang diberikan kepada kontraktor yang sedang melaksanakan kerja-kerja pembinaan, sekiranya berlaku ketirisan ataupun ada harga-harga yang (ditawarkan) tidak berpatutan, kita akan buat penambahbaikan pada kontrak,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri kementeriannya di sini hari ini.

Peter turut musykil mengapa kementerian itu tidak dilibatkan bagi memantau projek itu di mana pemantauan  sebelum ini dilakukan oleh konsultan dilantik melibatkan pembayaran kerajaan kepada konsultan itu lebih RM700 juta. – Bernama