LABUAN, 16 MAC – Jawatankuasa Gerak Kerja Labuan COVID-19 telah ditubuhkan pada Ahad dan memulakan operasinya hari ini bagi membantu mengawal penularan virus itu dan kerja-kerja berkaitannya di pulau ini.
Jawatankuasa di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan itu terdiri daripada 20 agensi kerajaan antaranya Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia Labuan (PDRM).
Labuan sehingga hari ini merekodkan empat kes COVID-19 dengan kesemua kes dikaitkan pada perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling di Kuala Lumpur dari 28 Februari hingga 1 Mac lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan yang juga ketua pegawai eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata kerja-kerja disinfeksi akan dilaksanakan oleh jawatankuasa itu di kawasan awam tertentu termasuk kawasan bandar dan pejabat jabatan kerajaan mengikut keperluan.
“Sebuah dewan di Kompleks Sukan Labuan juga dicadang dijadikan ‘Pusat Kuarantin Alternatif COVID-19’ bagi membantu sekiranya ada kesesakan pusat isolasi di Hospital Labuan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Dewan itu akan dilengkapi dengan katil, juga dijadikan sebagai tempat khas kuarantin untuk orang yang disyaki ada simptom COVID-19 dan bukan dikuarantin di rumah bagi mengelakkan jangkitan kepada ahli keluarga lain atau jiran terdekat.
Seramai 391 orang dikuarantin di rumah masing-masing di sini sejak bulan lepas.
“Para anggota dalam jawatankuasa ini akan juga ditugaskan menghantar sampel setiap hari ke Menumbok menggunakan bot sebelum dihantar ke makmal di Kota Kinabalu, bagi mempercepatkan proses memperoleh keputusan sampel,” katanya.
Selain itu, anggota lain dalam jawatankuasa ini berperanan dalam tugasan saringan kesihatan dan proses pengesanan COVID-19 rumah ke rumah.
“Dianggarkan 400 rumah akan dilawat untuk saringan kesihatan, dan jawatankuasa ini juga akan melihat keperluan untuk menjadikan balai raya di 27 kampung di Labuan sebagai tempatan saringan kesihatan bagi mempercepatkan proses saringan dan memudahkan lagi penduduk kampung,” katanya. – Bernama