Jawatankuasa Pandu COVID-19 perkukuh kerjasama

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Memang sejak awal lagi sebelum wabak COVID-19 diisytiharkan di negara ini pada 2020, kementerian-kementerian yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan bersama-sama membincangkan pelan dan respons terhadap ancaman pandemik COVID-19.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong mengongsikan mengenai penglibatan menteri-menteri dalam pandemik di negara ini pada sidang media di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa sejak gelombang pertama tahun lalu, menteri-menteri telah mengadakan mesyuarat dari semasa ke semasa dan salah satu jawatankuasa yang telah ditubuhkan itu ialah jawatankuasa pandu hal ehwal rentas sempadan.

“Walaupun ia dinamakan jawatankuasa pandu rentas sempadan, tetapi ia telah membincangkan perkara di luar daripada rentas sempadan,” jelasnya.

Strategi ini, jelas beliau, adalah untuk mengawal kehadiran orang dari luar dan kerana itu banyak perkara penting untuk diteliti dan ini bukan saja dari sudut kesihatan tetapi juga sudut lain kerana pergerakan orang keluar masuk yang dikawal tentu ada beberapa implikasi seperti keselamatan makanan dan sebagainya.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa memberi penjelasan pada sidang media jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Di samping itu, jawatankuasa ad hoc dan tetap juga telah membincangkan sumber tenaga manusia, hal kewangan, logistik, perbekalan dan lainnya dan hasil daripada permesyuaratan menteri-menteri ini yang dilaksanakan di peringkat pengendalian oleh agensi tertentu.

Dalam hubungan ini, jelasnya, dapat dilihat adanya koordinasi dari segi pengurusan pandemik ini dengan melibatkan berbagai-bagai agensi dan kementerian selain Kementerian Kesihatan, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan lainnya.

“Melihat kepada gelombang kedua pandemik COVID-19 di negara ini lebih mencabar, permesyuaratan antara menteri-menteri semakin kerap diadakan,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, jawatankuasa sebelum ini telah dinaikkan tarafnya dengan tujuan memastikan bahawa yang disediakan itu dapat diperkukuhkan lagi dan kini dikenali dengan Jawatankuasa Pandu COVID-19.

Jawatankuasa berkenaan dipenge-rusikan bersama oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua bersama ahli-ahlinya adalah para menteri.

Di samping jawatankuasa yang dinaik taraf itu, bahagian operasi turut dinaikkan taraf di mana kerjasama di peringkat ini diperkukuhkan lagi melalui jawatankuasa di peringkat setiausaha tetap.

Dengan kerjasama ini, jelasnya, ia akan membolehkan kementerian untuk terus bersepadu, bermuafakat untuk memikirkan isu-isu dasar bagi mengatasi cabaran gelombang kedua ini.

Selain kerjasama semua pihak secara kolektif juga, kita dapat bersama-sama mengatasi kedudukan pada masa ini dalam menghadapi pandemik COVID-19.