KUCHING, 8 Mei – Satu jawatankuasa tiga pihak terdiri daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri Sarawak akan ditubuhkan bagi menguruskan dana RM1 bilion untuk membaik pulih sekolah usang dan memantau projek berkenaan.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata keputusan bahawa dana itu dimasukkan ke dalam akaun khas dan bukannya ke dalam Dana Konsolidasi Persekutuan dibuat semasa pertemuan antara Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini pada 24 April lepas.
“Dr Maszlee memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan dan kerajaan persekutuan mengakui kebimbangan berhubung keputusan untuk membayar wang itu kepada Dana Konsolidasi Persekutuan untuk diagihkan melalui bajet tahunan.
“Semasa pertemuan ini, beliau membuat beberapa cadangan untuk meleraikan kebuntuan ini,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Cadangan lain adalah proses perolehan diuruskan oleh Lembaga Perolehan Persekutuan Sarawak dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai agensi pelaksana.
Beliau berkata satu perjanjian akan ditandatangani antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak untuk memastikan RM1 bilion, yang akan dibayar sebagai pembayaran kontra untuk pinjaman persekutuan, hanya dibelanjakan untuk sekolah-sekolah usang di negeri ini.
Mengenai peruntukan persekutuan, Manyin berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memperuntukkan RM100 juta tahun ini untuk membaiki dan menaik taraf 32 sekolah yang mana projek itu dijangka bermula pada Julai dan siap menjelang akhir tahun ini. – Bernama