Jay Nazif mahu sebar kebaikan

Pelakon remaja, Jay Nazif yang mula mencipta populariti menerusi drama bersiri, Mak Cun musim keempat siaran TV3 percaya kepada rezeki kurniaan Tuhan.

Jay atau nama sebenarnya, Muhammad Nazif Ihsan Mohd Nazi, 14, yakin setiap perkara dilakukan dengan niat dan usaha, pasti ada lorong kejayaan.

Biarpun minat mendalam terhadap dunia lakonan, pelakon kelahiran Georgetown, Pulau Pinang itu tidak sesekali mengabaikan pelajaran selepas empat tahun bergelar anak seni.

“Ketika era pandemik COVID, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dipraktikkan.

Jadi, saya tiada masalah membahagikan masa antara pelajaran dan komitmen dalam bidang seni jika jadual bertembung.

Jay Nazif yakin setiap perkara dilakukan dengan niat dan usaha, pasti ada lorong kejayaan. – Agensi

“Saya masih boleh sertai kelas dalam talian di mana-mana juga, termasuk ketika di lokasi penggambaran. Jika tidak sempat dan tertinggal, saya akan merujuk semula dengan guru.

“Sekarang, saya sudah kembali ke sekolah. Namun, saya bersyukur guru dan sekolah memahami tuntutan kerjaya seni, asalkan saya tidak mengabaikan pelajaran,” kata pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak itu.

Tambah Jay, setakat ini, dia tidak pernah menjadikan tiket sebagai selebriti untuk melupakan tanggungjawab sebagai pelajar.

“Saya masih mampu mengekalkan momentum sebagai pelajar dan pelakon. Apabila memilih kerjaya ini, saya kena menggandakan usaha dalam mengimbangi dua perkara penting dalam satu masa.

“Saya akui, bergelar pelajar dan pelakon, agendanya hampir sama kerana menuntut saya memberikan terbaik, kekalkan prestasi dan paling penting, ikhlas,” katanya yang memegang watak Atan iaitu cucu Mak Cun lakonan Erma Fatima.

Kata Jay lagi, dia mahu ramai sedar anak seni bukan sekadar menghiburkan.

“Anak seni juga menyebar dan mengajak ke arah kebaikan.

“Saya bercita-cita menjadi penghibur dan usahawan berjaya, sekali gus membantu insan memerlukan,” katanya yang baru muncul dalam telefilem Nawfal Nak Raya arahan Issey Fazlisham. – Agensi