JBBSB laksana program ART untuk peniaga

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Sebagai usaha bersama dalam mengawal penularan penyakit COVID-19 di negara ini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) menerusi Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) mula menjalankan Program Ujian Pantas Antigen (ART) bagi semua peniaga di bawah jabatan berkenaan.

Program bermula hari ini di Kompleks Tamu Kianggeh dan ujian berkenaan adalah mandatori dan akan dilaksanakan sendiri oleh semua peniaga di rumah masing-masing. Penerangan mengenai tatacara penggunaan ART tersebut telah disampaikan kepada semua peniaga.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KHEDN, program bertujuan untuk mengesan virus SARS-CoV-2 dengan mudah dan cepat.

Selain itu, ia juga bertujuan sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19 dalam kalangan peniaga kompleks berkenaan yang mempunyai risiko terdedah kepada jangkitan COVID-19.

Sehubungan itu, kebenaran berniaga juga tertakluk kepada keputusan ujian yang dibuat dan ia akan dilaksanakan sekali dalam seminggu kepada semua peniaga termasuk pembantu yang berdaftar hadir pada program berkenaan.

Peniaga menghadiri sesi taklimat tatacara penggunaan ART di Kompleks Tamu Kianggeh baru-baru ini. – Gambar serahan JBBSB