Oleh Siti Nur Wasimah S.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Acara JBOXING by Jovian Mandagie membuka tirainya hari ini di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Hotel & Country Club di mana pereka fesyen terkemuka Malaysia berkenaan menampilkan kesemua koleksinya pada harga terbaik.
Acara itu telah dibukakan untuk ahli-ahli prestij Baiduri pagi tadi sebelum dibukakan kepada orang ramai pada sebelah petang.
Di acara tiga hari berkenaan, Jovian turut melancarkan koleksi beg tangan pertamanya dinamakan Jovian Borsa.
Beg tangan berkenaan 100 peratus diperbuat daripada kulit asli yang ditawarkan pada harga mampu milik khas untuk para peminat di negara ini.
Tahun ini, Jovian membawakan kesemua koleksinya bukan hanya untuk wanita dan kanak-kanak perempuan tetapi juga terdapat pakaian untuk lelaki dan kanak-kanak lelaki dengan pelbagai jenis pilihan.



Antara koleksi yang ditampilkan di acara JBOXING berkenaan termasuk Jovian Borsa, JLuxe Raya 2017, Jovian Men 2017, Sacannah, JBasic Raya 2017, Lisa Surihani for Jovian, Jovian Hijab, Jovian Kids untuk anak damit lelaki dan perempuan serta banyak lagi.
Apa yang menarik dengan acara yang julung-julung kalinya diadakan di negara ini itu, JBOXING diinspirasikan daripada Boxing Day iaitu diskaun di luar jangkaan di samping menampilkan pelbagai barangan dan koleksi terbaru.
Setiap tahun, acara JBOXING by Jovian dihadiri oleh lebih 15,000 pengunjung dan di Brunei pula pasukan Jovian menjangkakan kehadiran seramai 20,000 pengunjung pada acara tersebut yang juga boleh dikunjungi oleh warga dari Sabah dan Sarawak, Malaysia.
Acara yang julung kali diadakan itu dianjurkan bersama Butik Bajoo dan rakan kongsi utama iaitu Kumpulan Bank Baiduri dan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti DST, Maszalina Event Management, Brunei Press Sdn Bhd, BMW, Mix Media dan banyak lagi.