JBP anjur taklimat kebakaran

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Dengan hasrat untuk meningkatkan kesedaran di kalangan warga sekolah mengenai bahaya kebakaran dan langkah-langkah mencegahnya, Latihan Pengosongan Bangunan dan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi Sekolah Rendah Sultan Hashim Batu Apoi, Daerah Temburong telah diadakan pada 29 Februari lalu.

Latihan dan taklimat yang melibatkan seramai 110 orang guru dan murid sekolah dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Cawangan Operasi G, Daerah Temburong diisikan taklimat mengenai keselamatan kebakaran dan latihan pengosongan bangunan.

Taklimat serta latihan itu bermatlamat bagi memupuk rasa bertanggungjawab dan mengambil berat mengenai aspek keselamatan kebakaran di dalam bangunan, menjalankan latihan pengosongan bangunan dari semasa ke semasa supaya warga sekolah akan sentiasa bersedia sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini serta membolehkan interaksi, kerjasama dan menguatkan perhubungan di antara Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan pihak Sekolah Rendah Sultan Hashim Batu Apoi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat juga menyatakan bahawa kebakaran boleh berlaku pada bila-bila masa dan oleh itu, menyarankan orang ramai supaya meningkatkan kewaspadaan dan mengambil langkah-langkah keselamatan dalam mencegah berlakunya kebakaran serta sentiasa meningkatkan pencegahan kebakaran, tidak merasa cemas sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan menghubungi talian kecemasan bomba 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.

Para pelajar menghadiri Taklimat Keselamatan Kebakaran yang dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Cawangan Operasi G, Daerah Temburong.