JBP beri penghargaan dua pekerja stesen minyak

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Tindakan pantas dua orang pekerja Stesen Minyak Sepakat, Kuala Belait yang berjaya memadamkan kebakaran pada sebuah kereta dalam kejadian baru-baru ini, telah mendapat pujian serta penghargaan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

Sehubungan dengan itu, jabatan berkenaan telah menyerahkan Sijil Masyarakat Berjasa sebagai penghargaan kepada dua orang pekerja stesen minyak berkenaan di mana mereka berjaya memadamkan kebakaran sebuah kereta yang berlaku pada 8 Disember lalu, pada pukul 5:19 petang.

Awang Mohamad Rizal Azwandy bin Razali, warganegara Brunei dan Djatmiko Wibowo, warganegara Indonesia menerima sijil mereka daripada Pemangku Pegawai Pemerintah, Cawangan Operasi B, Pemangku Penguasa Kanan Mohd Shazwan bin Suhanie.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pemangku Stesen Komander Balai Bomba Kuala Belait, Pemangku Pegawai Balai Sarkawi bin Bakar dan Unit Perhubungan Awam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi B, Daerah Belait, JBP, di sini, hari ini, tindakan pantas kedua-dua orang pekerja berkenaan telah berjaya memadamkan kebakaran itu dengan menggunakan dua alat pemadam api jenis debu kering dan menghubungi talian 995 bagi tindakan selanjutnya.

JBP dalam kenyataannya turut menyatakan bahawa jabatan berkenaan menyediakan program-program keselamatan seperti Kursus Marsyal Bomba dan Taklimat Life Saver 995 bagi mengetahui aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api khusus bagi jabatan kerajaan, syarikat swasta, sekolah-sekolah dan penduduk kampung di negara ini.

Pada masa yang sama, JBP menasihatkan supaya para pengguna sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan, tiada sebarang kebocoran pada pam yang boleh memudahkan pengaliran cecair mudah terbakar pada enjin blok yang panas atau sistem elektrik dan memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta juga pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul daripada para mekanik bertauliah.

Kenyataan juga menyatakan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang awam hendaklah berhubung terus ke JBP melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Pemangku Penguasa Kanan Mohd Shazwan bergambar ramai bersama kedua-dua pekerja stesen minyak yang diraikan pada majlis tersebut. – Gambar oleh JBP