JBP hargai dua lelaki berjasa

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Tindakan pantas dua orang lelaki untuk memadamkan kebakaran dalam dua kejadian berasingan iaitu kebakaran rumah di Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan dan Kampung Sungai Kang, Lumut 1, mendapat penghargaan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) yang menyerahkan Sijil Masyarakat Berjasa kepada kedua-dua lelaki berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi C, Daerah Brunei Muara, JBP, di sini, hari ini, Timbalan Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C, Penguasa Bomba dan Penyelamat, Haji Mustapa bin Haji Mohamad bersama pegawai dan anggota Cawangan Operasi C, telah menyampaikan sijil masyarakat berjasa kepada mantan Pegawai Bomba Budin bin Haji Salleh kerana memadamkan kebakaran semasa kejadian kebakaran rumah pada 7 Januari lalu di Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan.

Tindakan pantas Awang Budin telah berjaya untuk memadamkan kebakaran rumah yang melibatkan sebahagian dinding dan siling berpunca daripada lilin jenis aromaterapi yang ditinggalkan dalam keadaan bernyala serta disimpan di atas meja jenis rotan.

Kebakaran itu dipadamkan menggunakan air secara berangkut-angkut sebelum anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian.

Manakala itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi B, Daerah Kuala Belait, JBP, Pemangku Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi B, Penguasa Kanan Mohd Shazwan bin Suhanie menyampaikan Sijil Masyarakat Berjasa kepada Haji Matasim bin Haji Bolhassan kerana berjaya memadamkan kebakaran elektrik di Kampung Sungai Kang, Lumut 1 pada 4 Januari lalu.

Tindakan pantas Haji Matasim berjaya untuk memadamkan kebakaran elektrik di panel board dengan menggunakan sebiji alat pemadam api jenis debu kering sebelum ketibaan jentera bomba dari Balai Bomba Spark.

Penguasa Kanan Mohd Shazwan menyampaikan Sijil Masyarakat Berjasa kepada Haji Matasim (gambar atas) manakala mantan Pegawai Bomba Budin menerima sijil daripada Penguasa Bomba dan Penyelamat Haji Mustapa (gambar bawah). – Gambar dari JBP