JBP hargai jasa dua pekerja stesen minyak

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Tindakan pantas dua orang pekerja Stesen Minyak Mar’azmala Jerudong yang berjaya memadamkan kebakaran sebuah kereta pada 21 April lalu telah mendapat pujian serta penghargaan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

Sehubungan dengan itu, JBP telah menyerahkan Sijil Masyarakat Berjasa sebagai penghargaan kepada kedua-dua pekerja itu iaitu Awang Mohammad Izzul Waie bin Abdul Hassan dan Awang Abdul Hafiz bin Ramli kerana berjaya memadamkan kebakaran kereta dengan menggunakan dua alat pemadam api jenis debu kering (dry powder), menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi F, Daerah Brunei dan Muara, JBP, di sini, hari ini.

Kedua-dua mereka yang merupakan warga tempatan diberikan penghormatan pada majlis penyerahan Sijil Masyarakat Berjasa di Stesen Minyak Mar’azmala Jerudong, kelmarin, di mana sijil disampaikan oleh Pegawai Pemerintah, Cawangan Operasi F, Pemangku Penguasa Kanan Haji Nordin bin Haji Buntan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Pemerintah Operasi F, Penolong Penguasa Suhaimi bin Haji Muhammad; Stesen Komander Balai Bomba Jerudong, Penolong Penguasa Haji Hassan bin Haji Jamudin; Ketua Unit Perhubungan Awam Operasi F, Pegawai Balai Aliman bin Haji Salleh; Ahli Bomba No.1199 Mohd Syahirah bin Haji Yahya dan Penyelia Stesen Minyak Mar’azmala Jerudong, Haji Mohd Hisamuddin bin Haji Zakaria.

Dalam kenyataan itu juga, JBP menyatakan bahawa jabatan berkenaan menyediakan program-program keselamatan seperti Kursus Marsyal Bomba dan Taklimat Life Saver 995.

JBP juga menyatakan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang awam hendaklah berhubung terus ke JBP melalui talian kecemasan bomba 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Pemangku Penguasa Kanan Haji Nordin bergambar ramai dengan para penerima sijil yang diraikan di majlis berkenaan. – Gambar oleh JBP