Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Dengan matlamat untuk memastikan keberkesanan prosedur pengosongan bangunan dalam kejadian kecemasan, satu latihan kecemasan kebakaran telah dikendalikan di Bangunan Abdul Razak, Centrepoint, Gadong, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, latihan itu dihasratkan untuk menilai keberkesanan kolaborasi antara marsyal bomba yang baru dilatih dengan anggota bomba dan penyelamat, di mana latihan itu diketuai oleh Stesen Komander Balai Bomba Beribi, ASFR Mohd Saifuddin bin Abdullah.
Latihan itu melibatkan seramai 21 orang anggota dari Balai Bomba Beribi bersama-sama Unit Operasi Wanita dan agensi-agensi yang berkenaan untuk menyaksikan proses latihan bagi peningkatan pada masa akan datang.
Kenyataan menjelaskan lagi bahawa marsyal bomba terlatih diuji dalam latihan simulasi berkenaan bagi mempersiapkan mereka dengan lebih baik untuk menangani senario-senario kecemasan dunia sebenar.
Nilai-nilai utama JBP dengan kecemerlangan operasi dan perkhidmatan berkualiti, sentiasa bersedia untuk melengkapkan komuniti dan orang ramai dengan kemahiran menyelamatkan nyawa menerusi Latihan Marsyal Bomba dan Kursus Lifesaver 995.
Dengan mengadakan latihan dan kursus berkenaan, sehingga kini, seramai 77 orang telah dianugerahkan dengan Anugerah Masyarakat Berjasa bagi bantuan memadamkan kebakaran sebelum anggota bomba dan penyelamat tiba.
Kenyataan menyatakan bahawa ia dapat dicapai menerusi pendekatan seluruh negara di mana Bahagian Perhubungan Awam JBP mengadakan latihan kepada orang ramai secara konsisten.
Bagi keselamatan semua orang, setiap premis komersial, premis yang dikunjungi ramai dan premis berisiko tinggi diperlukan untuk menjalankan Kursus Marsyal Bomba selama tiga hari dan mengendalikan latihan pengosongan bangunan sebanyak dua kali setahun untuk mempersiapkan dan melatih mereka dengan ilmu pengetahuan keselamatan kebakaran yang sesuai bagi penghuni bangunan berkenaan supaya mereka bersedia bagi sebarang kecemasan kebakaran.
Orang ramai turut disarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah berhubung terus ke talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.
