Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Dengan matlamat untuk mengeratkan silaturahim bersama warga Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) Brunei dan melaksanakan kerja berkebajikan, rombongan seramai 60 orang pegawai dan anggota Cawangan Operasi ‘A’, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah mengadakan projek gotong-royong membersihkan persekitaran Pusat KACA, Kampung Kiulap, kelmarin.
Projek yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘A’, Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat, Awang Noor Aflan bin Awang Kachi itu adalah salah satu daripada aktiviti amal sempena Sambutan Hari Ulang Tahun JBP ke-59.
Aktiviti amal itu bertujuan untuk mendedahkan kepada orang ramai tentang masyarakat yang memerlukan perhatian terutamanya yang kurang upaya dan untuk memupuk sikap bekerjasama membersihkan alam sekitar serta mencantikkan kawasan berkenaan.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Pengarah Urusan KACA, Haji Awang Abdul Halim bin Haji Awang Othman.
Semasa kegiatan amal itu, antara kerja yang dilakukan termasuklah memotong rumput, membersihkan kawasan persekitaran dan mengecat dinding bangunan pusat. Ia juga diteruskan dengan demonstrasi tatacara memadam kebakaran menggunakan alat-alat pemadam api kepada kakitangan pusat berkenaan.
Dengan adanya projek berkenaan, pihak JBP berharap boleh meringankan beban serta dapat membantu golongan yang memerlukan dan mengeratkan hubungan kerjasama antara JBP dengan agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta.
JBP memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan bagi sebarang insiden kecemasan melalui talian kecemasan 995, talian 993 apabila melihat perbuatan yang mencurigakan, mengambil atau merosakkan pili-pili bomba dan talian Darussalam 123 bagi aduan pembakaran terbuka.