JBP seru kerjasama tidak lakukan pembakaran

Oleh Sim Y. H.
Gambar Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menegaskan orang ramai untuk memberikan kerjasama dan sama-sama mengambil peranan untuk tidak melakukan pembakaran terbuka atau membuat perunan yang boleh melarat dan mengakibatkan kebakaran besar, semasa musim panas dan kering.

Mereka juga disarankan tidak melakukan pembakaran ketika musim panas dan kering yang boleh menyebabkan terjadinya kebakaran hutan atau rumput dan seterusnya akan merebak ke kawasan hutan yang berdekatan atau kawasan perumahan.

Peringatan itu dibuat oleh JBP dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, dengan mendedahkan bahawa mengikut pecahan statistik panggilan kebakaran hutan dan belukar yang diterima jabatan berkenaan menunjukkan bahawa dari Februari hingga April 2019, sebanyak 1,201 panggilan yang meliputi keluasan 1,171.19 hektar bersamaan dengan 1,312 padang bola.

Statistik itu juga menunjukkan bahawa bagi tempoh tersebut, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan panggilan terbanyak kejadian kebakaran hutan iaitu sebanyak 456 panggilan diikuti oleh Daerah Tutong dengan sebanyak 177 panggilan, Daerah Belait dengan sebanyak 158 panggilan, dan Daerah Temburong dengan tiga panggilan.

Jumlah keseluruhan panggilan bagi kebakaran hutan bagi tempoh Februari hingga April 2019 di keempat-empat daerah ialah sebanyak 794 panggilan dengan keluasan 984.21 hektar.

Anggota bomba dan penyelamat menjalankan tugas untuk memadam kebakaran rumput yang berlaku di Daerah Belait, baru-baru ini.
Awang Muhd Shahreeni (kanan) ketika memantau salah satu operasi memadamkan kebakaran di salah sebuah kawasan di Daerah Belait.

Manakala itu, bagi panggilan kebakaran belukar pula, bagi tempoh Februari hingga April 2019, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan panggilan terbanyak iaitu sebanyak 154 panggilan diikuti Daerah Tutong dengan 137 panggilan, Daerah Belait sebanyak 115 panggilan dan Daerah Temburong satu panggilan.

Jumlah keseluruhan panggilan untuk kebakaran belukar bagi tempoh Februari hingga April 2019 di keempat-empat daerah ialah sebanyak 407 panggilan dengan keluasan 186.98 hektar.

Antara kemungkinan punca-punca menyebabkan kebakaran belukar dan hutan berkenaan adalah daripada aktiviti pembakaran terbuka bagi tujuan pertanian, riadah seperti perkhemahan dan memancing atau perunan yang ditinggalkan tanpa pengawasan.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa menurut maklumat Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, negara kini berada dalam fasa kedua musim monsun timur laut dan ia akan berterusan sehingga hujung Mac 2020.

Berdasarkan klimatologi Negara Brunei Darussalam, bulan Februari dan Mac mempunyai bilangan hari-hari berhujan dan juga jumlah turunan hujan yang terendah berbanding bulan-bulan lain.

Sepanjang tempoh itu, negara pada lazimnya akan me-ngalami keadaan cuaca panas dan kering, di mana aktiviti turunan hujan juga berkurangan disebabkan keadaan atmosfera yang kurang stabil.

Impak-impak cuaca yang berpotensi berlaku semasa tempoh fasa kedua musim monsun timur laut ialah keadaan panas pada waktu siang serta ada kalanya suhu udara maksimum meningkat antara 33 hingga 35 darjah Celsius dan keadaan kering juga boleh menyebabkan cuaca sedikit berjerebu.

Sehubungan dengan itu, cawangan dan balai bomba seluruh negara akan menjalankan rondaan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti selalu terjadinya kebakaran untuk tindakan segera dan membuat pemantauan bagi memastikan tidak ada kegiatan atau aktiviti pembakaran secara terbuka oleh orang ramai yang boleh menyebabkan kebakaran hutan atau belukar.

Orang ramai juga diseru untuk sentiasa meningkatkan kewaspadaan bagi mengurangkan kelajuan semasa melintasi jalan raya berdekatan dengan kawasan kebakaran hutan kerana asap kebakaran boleh menghalang penglihatan dan mengakibatkan kemalangan, nyalakan lampu hadapan kereta bila penglihatan tidak jelas serta jika terperangkap dalam keadaan jerebu dan mencari tempat yang selamat untuk berhenti.

Dalam kenyataan itu lagi, JBP menyatakan bahawa jabatan berkenaan bersiap siaga 24 jam dan sentiasa membuat rondaan dan pemantauan di darat mahu pun di perairan bagi mengambil langkah-langkah yang berpatutan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku terutama di kawasan-kawasan rendah serta kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Walau bagaimanapun kefahaman serta bantuan orang ramai dalam sama-sama bertindak meningkatkan keselamatan peringkat awal merupakan tindakan yang terbaik sebelum bantuan tiba.