JBP terima 23 panggilan kecemasan bencana alam

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Cawangan Operasi B Daerah Belait telah menerima sebanyak 23 panggilan kecemasan bencana alam akibat angin kencang yang berlaku pada malam 7 November. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP di sini hari ini, kawasan yang terjejas adalah kawasan RPN Pandan 7 Kuala Belait, Jalan Mumong Kuala Belait dan kawasan Rampayoh Labi 2. 

Antara insiden yang diterima adalah insiden atap terbang sebanyak 19 panggilan, insiden pokok tumbang sebanyak tiga panggilan, dan insiden tanah susur sebanyak satu panggilan di mana menjejaskan lalu lintas  jalan raya utama Rampoyoh Labi 2 yang terputus dan menyukarkan bagi penduduk kampung setempat disebabkan tidak ada jalan keluar yang lain.

Seramai 47 orang pegawai dan anggota JBP, Cawangan Operasi B dari Balai Bomba Seria, Balai Bomba Kuala Belait dan Balai Bomba Labi telah dikerahkan bagi menghadiri panggilan kecemasan yang melibatkan bencana alam.

Tindakan anggota bomba bagi insiden atap terbang dengan menutup bekas atap terbang menggunakan kanvas dan tali  manakala bagi insiden pokok tumbang anggota bertindak memotong pokok menggunakan gergaji rantai.

Turut hadir ialah penghulu dan ketua kampung tersebut, Jabatan Daerah Belait, JAPEM Daerah Belait, Jabatan Kerja Raya Daerah Belait, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei.

JBP dalam kenyataanya, menya-rankan orang ramai untuk sentiasa mengikuti perkembangan dan nasihat serta amaran mengenai maklumat keadaan cuaca terkini yang dikeluarkan Jabatan Kajicuaca Negara Brunei Darussalam melalui siaran RTB, melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial Facebook bruneiweather, Instagram @bruneiweather dan aplikasi bimbit Brunei WX serta memastikan pintu rumah dan jendela dalam keadaan tertutup jika tidak berada di dalam rumah.

Jalan raya utama Rampoyoh Labi 2 terputus akibat tanah susur. – Gambar serahan JBP