JBP terima lebih 5,000 panggilan kecemasan

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan JPB

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 DIS – Pada tahun 2021 bermula Januari sehingga November, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menerima sebanyak 5,481 panggilan kecemasan, dengan Daerah Brunei dan Muara mencatatkan panggilan tertinggi sebanyak 3,967, Belait 837, Tutong 557 dan Temburong 120 panggilan.

JBP dalam kenyataan yang diterima di sini menjelaskan dari segi kategori panggilan pula, kebakaran dan kemalangan kereta mencatatkan 62 panggilan kebakaran kereta dan 34 melibatkan kemalangan kereta yang mana 39 mangsa cedera dan tujuh kehilangan nyawa.

Bagi panggilan mencari dan menyelamat orang sesat, 15 panggilan diterima dengan melibatkan satu kecederaan.

Manakala itu, satu panggilan diterima bagi mencari dan menyelamat orang lemas yang melibatkan kehilangan jiwa.

JBP turut menerima sebanyak 435 panggilan bagi pokok tumbang, 81 tanah susur dan 42 melibatkan menimba air dan atap terbang pula sebanyak 27 panggilan.

Bagi kategori panggilan kecemasan binatang liar pula, JBP menerima sejumlah 2,779 panggilan melibatkan ular, 230 biawak dan 39 insiden buaya manakala bagi penyelamatan binatang, sejumlah 206 panggilan menyelamatkan kucing dan 86 menyelamatkan anjing.

JBP sentiasa bersiap siaga dalam masa 24 jam dan membuat rondaan dan pemantauan di darat dan perairan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini terutama di kawasan rendah dan yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Walau bagaimanapun, kerjasama dan tindakan orang ramai dalam meningkatkan keselamatan peringkat awal merupakan tindakan terbaik sebelum bantuan tiba.

JBP turut menyarankan orang ramai supaya segera menghubungi talian kecemasan 995 jika berlaku sebarang kecemasan dan memberikan maklumat yang tepat dan betul.

Anggota bomba menyelamatkan si bulus dalam salah satu insiden.