JBP terima sumbangan hand sanitizer

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Dalam usaha bagi membendung penularan wabak COVID-19 pada masa ini, pelbagai cara dan usaha telah pun diambil bagi menjaga kebersihan diri seperti mengamalkan penjarakkan sosial dan kerap mencuci tangan.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menerima sumbangan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) sebanyak 10 botol (5 liter) dari Syarikat Bobby Electrical Co Sdn Bhd dan One Station Supermarket bagi pegawai dan anggota JBP dalam menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi F, JBP, di sini, sumbangan berkenaan diterima oleh Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Lim Hock Guan.

Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan tersebut ialah penolong- penolong pengarah, pegawai kanan serta pegawai bomba dan penyelamat.

JBP dalam kenyataan itu lagi, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kedua-dua buah syarikat berkenaan di atas sumbangan ikhlas bagi sama-sama membantu dalam pencegahan wabak COVID-19 di negara ini.

JBP juga menasihatkan jika berlaku insiden kecemasan, orang awam hendaklah berhubung terus ke talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Lim Hock Guan menerima sumbangan hand sanitizer daripada Syarikat Bobby Electrical Co Sdn Bhd dan One Station Supermarket. – Gambar serahan JBP