JBP terima sumbangan penutup hidung dan mulut

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Bagi membendung penularan wabak COVID-19 pada masa ini, pelbagai cara dan usaha telah pun diambil untuk menjaga kebersihan diri seperti mengamalkan penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan.

Sehubungan dengan itu, Azutech Sdn Bhd telah menyumbangkan sebanyak 3,000 keping penutup mulut dan hidung untuk kegunaan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JBP, di sini, hari ini, sumbangan diterima oleh Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Lim Hock Guan. Turut hadir bagi menyaksikan penyerahan sumbangan berkenaan ialah penolong pengarah teknikal.

Dalam kenyataan itu, JBP mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan berbanyak-banyak terima kasih kepada Syarikat Azutech Sdn Bhd atas sumbangan ikhlas bagi sama-sama membantu dalam pencegahan wabak COVID-19 di negara ini.

Kenyataan menyatakan bahawa jika berlaku insiden kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Lim Hock Guan menerima sumbangan penutup mulut dan hidung daripada Syarikat Azutech Sdn Bhd. – Gambar serahan JBP